PERDEBATAN PENDEKATAN BEBAS NILAI DALAM
PENYELIDIKAN:
TINJAUAN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Mohd Syahmir Alias
syahsc90@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Dalam falsafah
penyelidikan, terdapat suatu pendekatan yang dikenali sebagai value-free atau
bebas nilai. Pendekatan ini mengalami suatu perdebatan yang panjang dalam
kalangan sarjana Barat. Selaku pelopornya, Max Weber berpandangan bahawa
konotasi bebas nilai bukan terletak pada literal istilahnya sahaja tetapi
merangkumi suatu pendekatan yang ideal untuk mencapai taraf penyelidikan
saintifik dalam bidang sains sosial. Persoalannya, apakah asas-asas ideal yang
terdapat dalam pendekatan bebas nilai Max Weber? Apakah pula kritikan yang
diberikan untuk menolak pendekatan ini? Bagaimanakah pula pandangan Islam
terhadap suatu konsep penting dalam penyelidikan yang dibangunkan oleh sarjana
Barat ini? Oleh itu, kertas kerja ini mencari jawapan dengan menggunakan kaedah
analisis kandungan terhadap teks-teks berkaitan pendekatan bebas nilai.
Terdapat tiga tujuan utama kertas kerja ini. Pertama, mengenal pasti pendekatan
bebas nilai dari perspektif Max Weber; kedua, meneliti kritikan-kritikannya;
dan ketiga, meninjau perspektif Islam dalam perdebatan ini. Hasilnya, kertas
kerja ini menemui enam asas utama yang ideal dalam pendekatan bebas nilai.
Walau bagaimanapun, keenam-enam asas ini masih belum mendapat perhatian khusus
oleh sarjana Muslim untuk menganalisisnya dari sudut penyelidikan berteraskan
Islam.
Kata Kunci: Bebas
Nilai, Penyelidikan, Sains Sosial, Max Weber, Penyelidikan Berteraskan Islam.
ELEMEN PENGETAHUAN DAN KEMAHIRAN DALAM
KAEDAH
KEPIMPINAN PENGURUSAN KUALITI
Nurhidayah Marzuki@Yahaya
dieya87@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini akan
menganalisis elemen utama kepimpinan dalam pengurusan kualiti. Kaedah
kepimpinan dalam pengurusan kualiti penting kerana ia berfungsi untuk
mempengaruhi prestasi dan matlamat organisasi. Elemen utama yang dilihat dapat
mempengaruhi kaedah kepimpinan ini ialah pengetahuan dan kemahiran. Hal ini
kerana, pengetahuan dan kemahiran membolehkan seseorang pemimpin itu mewujudkan
budaya organisasi dan perubahan bukan sahaja dari aspek perkhidmatannya dalam
organisasi tetapi juga meliputi aspek kefahamannya terhadap ahli institusi.
Persoalannya, apakah sumber bagi elemen utama kaedah kepimpinan yang
dikemukakan ini? Adakah ia bertentangan atau selari dengan tasawur Islam? Jika
selari, apakah ciri-ciri elemen utama ini berdasarkan tasawur Islam? Apakah
elemen utama ini sesuai untuk diguna pakai oleh pemimpin di institusi
pembangunan berteraskan Islam? Kertas kerja ini bertujuan menjawab
persoalan-persoalan tersebut. Kaedah teoretikal digunakan bertujuan
menganalisis elemen utama kaedah kepimpinan ini. Akhir sekali, kertas kerja ini
diharapkan dapat mempamerkan sama ada elemen kemahiran dan pengetahuan ini
sesuai untuk diguna pakai oleh pemimpin di institusi pembangunan berteraskan
Islam atau sebaliknya.
Kata Kunci: Pengetahuan
dan kemahiran, kepimpinan, pengurusan kualiti.
HATI DAN NAFSU MENURUT ISLAM DAN
PENGARUHNYA TERHADAP ANDAIAN
KETIDAK-TERHADAN KEMAHUAN MANUSIA DALAM
EKONOMI ISLAM ARUS PERDANA
Mohd Zulkifli Muhammad
zulrider@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Hati dan nafsu memainkan peranan
penting dalam mempengaruhi kemahuan manusia dalam aktiviti perekonomian. Menurut
ekonomi Islam arus perdana, kemahuan manusia adalah tidak terbatas. Oleh itu,
manusia lebih cenderung menurut hawa nafsunya untuk memiliki barangan dan
perkhidmatan yang boleh melampaui batas yang digariskan Islam. Persoalannya,
adakah konsep hati dan nafsu menurut perspektif Islam diguna pakai dalam
andaian ketidak-terhadan kemahuan manusia dalam ekonomi Islam arus perdana?
Adakah konsep hati dan nafsu dalam Islam ini dapat menjelaskan permasalahan
yang dihadapi oleh manusia berkaitan dengan kemahuan dalam ekonomi Islam arus
perdana? Untuk menjawab persoalan tersebut, kertas kerja ini ditulis dengan
matlamat untuk mencapai dua tujuan. Pertama, mengenal pasti konsep hati dan
nafsu menurut perspektif Islam. Kedua, menganalisis pengaruh konsep hati dan nafsu
dalam Islam terhadap andaian ketidak-terhadan kemahuan manusia dalam ekonomi
Islam arus perdana. Kajian ini penting kerana ia dapat menganalisis persoalan
adakah perbahasan andaian ketidak-terhadan kemahuan manusia dalam ekonomi Islam
arus perdana mengambil kira konsep hati dan nafsu menurut perspektif Islam?
Kajian ini diharapkan dapat menambah ilmu pengetahuan tentang andaian ini dari
perspektif hati dan nafsu dalam Islam. Kajian ini bersifat kajian deskriptif.
Data yang digunakan diperolehi daripada kajian perpustakaan. Analisis kandungan
dan tekstual digunakan dalam mencapai hasrat ini. Kajian ini mendapati bahawa
perbincangan andaian ini dalam ekonomi Islam arus perdana tidak mengambil kira
konsep hati dan nafsu dalam Islam secara menyeluruh. Andaian tersebut diadunkan
dengan sokongan sumber-sumber rujukan Islam dan ekonomi lazim. Adunan ini
bertujuan mewujudkan ciri-ciri keislaman diku dalam andaian tersebut.
Kata Kunci: Hati dan
nafsu dalam Islam, Andaian ketidak-terhadan kemahuan manusia, Ekonomi Islam arus
perdana.
KEDUDUKAN INDUSTRI MAKANAN HALAL DALAM
MEKANISME
PEMBANGUNAN INSTITUSI BERTERASKAN ISLAM
Norazilawati Md Dahlal
norazilawatimddahlal@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Kertas kertas ini
bertujuan untuk membincangkan tentang kedudukan industri makanan halal dalam
mekanisme pembangunan institusi berteraskan Islam. Dalam mempraktikan
pembangunan institusi berteraskan Islam, industri makanan halal ini dijangkakan
dapat melahirkan kesan positif sama ada pada peringkat individu mahupun
komuniti. Merujuk kepada implikasi negatif mutakhir ini, timbul persoalan
apakah pembangunan industri makanan halal menepati kehendak dan inti pati yang
dilaksanakan berdasarkan pembangunan berteraskan Islam? Bagi menjawab persoalan
ini, kertas kerja ini mempunyai dua objektif utama. Pertama, membincangkan
tentang realiti serta kaedah pelaksanaan pembangunan industri makanan halal.
Kedua, meneliti kekurangan atau kelebihan yang wujud dalam pelaksanaan
pembangunan industri makanan halal dengan merujuk kepada kaedah pelaksanaan
pembangunan berteraskan Islam. Perbincangan dan penelitian dilakukan dengan
menggunakan kaedah analisis kandungan ke atas kajian dan penulisan terdahulu.
Akhir sekali, kertas kerja ini dijangkakan akan mencadangkan kaedah-kaedah
pelaksanaan pembangunan industri makanan halal yang menepati kehendak dan inti
pati pembangunan berteraskan Islam berdasarkan analisis kajian dan penulisan
terdahulu.
Kata Kunci: Industri
Makanan Halal, Pembangunan Institusi Berteraskan Islam.
FAKTOR SOKONGAN ORGANISASI ISLAM TERHADAP LESBIAN, GAY,
BISEKSUAL DAN TRANSGENDER (LGBT)
Nurul Izza Abdul Aziz
nurzza@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini
bertujuan untuk membincangkan faktor sokongan organisasi Islam terhadap
lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Golongan LGBT dikatakan semakin
hari semakin meningkat dan kehadiran mereka semakin mendapat sokongan dari
pelbagai pihak. Persoalannya, apakah faktor yang menyebabkan golongan ini
disokong sepenuhnya oleh sesetengah organisasi Islam, terutamanya daripada
golongan professional? Kertas kerja ini akan menjawab persoalan dengan
menggunakan analisis sorotan karya dan kajian lepas. Kertas kerja ini mempunyai
tiga objektif. Pertama, untuk mengenal pasti implikasi LGBT terhadap individu
dan masyarakat dan hubung kait implikasi tersebut dengan sokongan terhadap golongan
LGBT, kedua menganalisis implikasi LGBT dan ketiga merumuskan faktor-faktor
yang menjadi sokongan terhadap golongan ini.
Kata Kunci: LGBT,
faktor sokongan, implikasi.
ASAS-ASAS PENILAIAN HALAL DI PERSATUAN
PENGGUNA PULAU PINANG
Siti Nur Afiqah Shafie
sitinurafiqahshafie@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
merupakan sebuah NGO yang aktif memperjuangkan hak-hak pengguna termasuklah
dalam hal-hal berkaitan isu halal haram dalam kalangan pengguna Islam sejak
tahun 1970-an lagi. Antara usaha yang dilakukan oleh CAP termasuklah menerima
aduan pengguna, melakukan pemantauan dan penilaian terhadap produk-produk yang
berada di pasaran bagi mengetahui status kehalalannya. Persoalannya, Siapakah
individu yang terlibat dalam penilaian tersebut? Apakah kaedah penilaian halal
yang dilakukan? Bagaimanakah pula asas penilaian halal CAP tersebut dibentuk?
Bagi menjawab persoalan persoalan-persoalan ini kertas kerja ini mempunyai dua
objektif utama. Pertama, mengenal pasti asas-asas penilaian halal di CAP.
Kedua, mencadangkan kepada CAP penambahbaikan dalam penilaian halal yang
dilakukan terhadap produk-produk yang berada di pasaran. Berdasarkan analisis
kandungan terhadap data sekunder dan data primer ini, kertas kerja ini
mencadangkan agar CAP dapat menyemak kembali asas-asas penilaian halal yang
dilakukan dengan mengambil kira pelbagai aspek penilaian halal dalam Islam.
Kata Kunci: CAP,
Penilaian Halal, Penilaian Halal dalam Islam.
PRINSIP-PRINSIP FIQH KEPENGGUNAAN DALAM
KITAB SYAMA'IL MUHAMMADIYYAH
Siti Mastura Muhammad
Jernihan_Hati@Yahoo.Com
Universiti Sains Malaysia
Persoalan ekonomi merupakan
pendisiplinan ilmu kemasyarakatan yang tertumpu kepada tingkah laku individu
atau masyarakat sama ada dalam aktiviti pengeluaran, pengagihan dan penggunaan
serta selari dengan peraturan Allah SWT. Oleh itu, aktiviti kepenggunaan
penting dibicarakan kerana melihat kepada pengaruh kebendaan serta pelbagai isu
kepenggunaan yang timbul sebagai kesan perubahan sosio-budaya dan sosio-ekonomi
dalam masyarakat Muslim di Malaysia masa kini. Misalnya, masalah pembaziran,
pemborosan, peningkatan hutang isi rumah (household debt), peningkatan inflasi
keluarga, negara dan sebagainya. Bagi menangani isu-isu kepenggunaan yang
timbul dalam masyarakat pengguna ini, ilmu tentang fiqh kepenggunaan Islam
menjadi satu keperluan sebagai asas untuk memperkemaskan disiplin kepenggunaan
semasa. Untuk tujuan tersebut, kertas kerja ini hanya bertujuan meneliti dan
menganalisis prinsip-prinsip fiqh kepenggunaan dalam kitab Syama’il
Muhammadiyyah karya Imam al-Tirmiziy. Persoalannya, apakah prinsip-prinsip fiqh
kepenggunaan yang terdapat dalam Syama’il Muhammadiyyah tersebut? Bagaimanakah
prinsip-prinsip fiqh kepenggunaan tersebut dinyatakan sama ada secara langsung
atau tidak langsung? Untuk menjawab kedua-dua persoalan ini, kertas kerja ini
ditulis bagi mencapai tiga objektif utama. Pertama, mengenal pasti prinsip-prinsip
fiqh kepenggunaan dalam kitab Syama’il Muhammadiyyah; kedua, menganalisis
prinsip-prinsip fiqh kepenggunaan yang dikenal pasti itu; dan ketiga,
merumuskan prinsip-prinsip fiqh kepenggunaan berdasarkan kitab Syama’il
Muhammadiyyah tersebut. Sebagai hasilnya, kajian kualitatif yang menggunakan
kaedah analisis mawdu’iy ini mendapati prinsip-prinsip fiqh kepenggunaan dalam
kitab Syama’il Muhammadiyyah mengandungi tiga prinsip asas. Pertama,
kesederhanaan; kedua, kebajikan; dan ketiga, kerohanian dan akhlak (moral).
Kata kunci: prinsip,
fiqh, kepenggunaan, Syama’il Muhammadiyyah.
PENDIDIKAN DALAM PENGURUSAN INSAN
BERDASARKAN LUQMAN AL-HAKIM
Wan Nornajwa Wan Othman
impulse_neuron@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Dewasa kini,
pendidikan hanya tertumpu kepada peringkat persekolahan dan pengajian tinggi
sahaja. Walau bagaimanapun, pendidikan pada hakikatnya merupakan aset sepanjang
usia hidup insan kerana dapat memandu insan untuk bertindak dalam kehidupan
dunia dan memperoleh natijah yang baik di akhirat kelak. Ini termasuklah dalam
bidang pengurusan insan dan lebih-lebih lagi di institusi Islam. Persoalannya,
benarkah pendidikan diterima sebagai faktor penting dalam pengurusan insan masa
kini? Sekiranya ya, apakah bentuk penekanan yang diberikan? Sekiranya tidak,
bagaimanakah pendekatan terbaik pendidikan dalam pengurusan insan terutamanya
untuk pelaksanaan di institusi Islam? Makalah ini bertujuan menjawab
persoalan-persoalan tersebut berdasarkan kepada premis pendidikan dalam
pengurusan insan yang dilaksanakan oleh Luqman al-Hakim kepada anaknya. Elemen
pendidikan tersebut dapat dilihat pelaksanaannya dalam ayat ke 12 hingga ayat
ke 19 surah Luqman. Implikasi daripada pelaksanaan pendidikan dalam pengurusan
insan tersebut membawa anak Luqman al-Hakim memilih paksi kehidupan yang jelas
iaitu jalan mentauhidkan Allah SWT dengan memeluk Islam setelah diberi
pendidikan oleh bapanya iaitu Luqman al-Hakim. Kaedah analisis kandungan diguna
pakai dalam penulisan makalah ini. Di akhir makalah ini, bakal dikenal pasti
keperluan pendidikan dalam pengurusan insan kini dan analisis terhadap konsep
pendidikan dalam pengurusan insan Luqman al-Hakim. Dapatan tersebut akan
memperlihatkan pendekatan pendidikan dalam pengurusan insan yang perlu
dilaksanakan di institusi Islam.
Kata Kunci: Pendidikan
dalam Pengurusan, Pengurusan, Pengurusan Insan, Institusi Islam.
PRINSIP-PRINSIP PERENCANAAN DALAM
PERSPEKTIF ISLAM
Kasyful Mahalli
mahallikasyful@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Terdapat tiga aspek
penting yang berhubungan dengan perencanaan. Pertama, perencaanan itu sendiri
yang merupakan suatu proses kegiatan dalam menyusun rencana, kedua, peranan
perencana iaitu orang yang bekerja menyusun perencanaan, dan ketiga, rencana
yang merupakan hasil dari perencanaan. Permasalahannya adalah bagaimanakah
prinsip-prinsip Islam yang mesti ada dalam ketiga aspek perencanaan tersebut?.
Kertas kerja ini bertujuan untuk menjawab permasalahan tersebut. Untuk itu,
fokus pembahasan dilakukan kepada tiga bahagian. Pertama, kepentingan
perencanaan dalam Islam, kedua, menganalisis aspek-aspek perencanaan, dan
ketiga, merumuskan prinsip-prinsip Islam yang sedia ada dalam aspek
perencanaan. Dengan berdasarkan kepada matlamat sekunder dan penganalisaan teoritis
seperlunya, kertas kerja ini diakhiri dengan melihat kemungkinan menyusun
prinsip-prinsip perencanaan daripada perspektif Islam.
Kata Kunci: Perencanaan,
prinsip perencanaan, dan Islam.
PENGARUH PERSONALITI PENGGUNA ISLAM
(PPI) TERHADAP
PEMILIHAN INSTITUSI PERBANKAN ISLAM
(IPI)
Mutiara Dwi Sari
mutiara-dwisari@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Secara mudahnya
personaliti adalah “Siapakah orang itu? Dalam kajian ini personaliti merujuk
kepada Personaliti Pengguna Islam (PPI). PPI ditakrifkan sebagai
perbezaan-perbezaan individu dalam tahap akidah, ibadah, amanah, ilmu, ukhuwwah
dan qana’ah yang memberikan kontribusi dalam membentuk karakteristik pengguna Muslim
yang selari dengan ajaran Islam. Dalam perspektif kepenggunaan, personaliti
menyebabkan orang ramai menilai semua yang ada disekitar mereka dan
mengkaitkannya dengan sifat peribadi. Misalnya orang-orang di pusat-pusat
membeli-belah mengatakan "kain ini tidak mencerminkan personaliti
saya" atau “kain ini mencerminkan watak saya”. Kajian ini mencoba
mengkaitkan aspek personaliti pengguna Muslim dengan gelagat pengguna dalam
memilih IPI. Idea kajian ini berpunca pertanyaan kenapa syer pasaran perbankan
Islam di Indonesia tak sebanding dengan jumlah masyarakat Islamnya? Secara
puratanya syer pasaran perbankan Islam Indonesia hanya sekitar 5%. Jumlah syer
yang rendah ini juga berlaku di Kabupaten Kampar, Provinsi Riau. Terdapat
beberapa pertanyaan berkaitan, apakah pemilihan IPI menunjukkan siapakah orang
itu? Ataupun apakah pemilihan IPI menunjukkan sifat peribadi seseorang? Atau
pun dengan kata lain, apakah personaliti berkaitan dengan gelagat pemilihan
IPI? Kertas kerja ini bertujuan untuk menilai pengaruh personaliti terhadap
pemilihan IPI. Apakah personaliti seseorang berpengaruh terhadap pemilihan IPI?
Bagaimanakah perbezaan demografi mempengaruhi pemilihan IPI? Kajian ini
berbentuk kuantitatif iaitu data didapati melalui soal selidik yang melibatkan 437
responden di Kabupaten Kampar, Riau. Analisis data menggunakan perisian
Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 20, melibatkan analisis
deskriptif, korelasi pearson dan uji statistik analisis regresi pelbagai. Hasil
kajian menunjukkan, arah dan kekuatan hubungan antara PPI secara keseluruhan
dan Pemilihan IPI adalah positif antara kedua-dua pemboleh ubah. Keputusan
analisis korelasi pearson didapati nilai r=0.519 dengan nilai p<0.001. Dari
segi pengaruh PPI terhadap pemilihan IPI, keputusan analisis regresi pelbagai,
menunjukkan bahawa pemboleh ubah PPI sebagai pembolehubah peramal menunjukkan
pengaruh yang signifikan terhadap pemilihan IPI. Pembolehubah jantina dan umur
juga mempunyai pengaruh yang signifikan. terhadap pemilihan IPI. Begitu juga
dengan pendapatan utama dan pendapatan sampingan juga mempengaruhi pemilihan
IPI. Manakala pembolehubah lainnya iaitu pendidikan, pekerjaan, pendapatan
suami/isteri dan tempat bermastautin tidak berpengaruh secara signifikan
terhadap pemilihan IPI.
Kata Kunci: Personaliti,
Pengguna Islam, Gelagat Pengguna, Pemilihan Perbankan Islam.
SIFAT PERWATAKAN MANUSIA SEBAGAI PELAKU
PEMBANGUNAN:
ANALISIS AL-MAWDU‘IY TERHADAP SURAH
AL-FURQAN
Nurul Farhana Yahaya
Syaukahsurur_Hana89@Yahoo.Com
Universiti Sains Malaysia
Manusia merupakan pelaku pembangunan
sama ada dalam konteks pembangunan lazim atau pembangunan berteraskan Islam
(PBI). Sesuatu pembangunan tidak akan terlaksana tanpa manusia sebagai
pelakunya (development actors). Walau bagaimanapun, fungsi manusia sebagai
pelaku pembangunan dalam pembangunan lazim dan PBI adalah berbeza. Dalam
pembangunan lazim, manusia sebagai makhluk ekonomi yang mengeluar dan mengguna
semata-mata, manakala dalam PBI, manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.
Oleh sebab fungsi sebenar manusia sebagai pelaku pembangunan itu berbeza antara
pembangunan lazim dengan PBI, maka sudah pasti manusia yang berperanan sebagai
khalifah tersebut mempunyai sifat perwatakan yang tersendiri. Persoalannya
apakah sifat-sifat perwatakan manusia sebagai pelaku pembangunan menurut Surah
al-Furqan? Bagaimanakah sifat ini diaplikasikan dalam PBI? Untuk menjawab
kedua-dua persoalan tersebut, kertas kerja ini ditulis bagi mencapai dua
objektif utama. Pertama, mengenal pasti ayat-ayat al-Qur’an dalam Surah
al-Furqan yang menjelaskan sifat-sifat perwatakan manusia sebagai pelaku
pembangunan; kedua, menganalisis sifat-sifat perwatakan pelaku pembangunan yang
terdapat dalam ayat tersebut. Sebagai hasilnya, kajian kualitatif yang
menggunakan kaedah analisis tafsir al-mawdu’iy ini menemui 11 sifat perwatakan
manusia sebagai pelaku pembangunan. Sifat-sifat perwatakan tersebut adalah
menjaga ibadah malam, takut azab Allah SWT, mentauhidkan Allah SWT, menghayati
ayat-ayat Allah SWT, sederhana dalam berbelanja, menjauhi zina, sentiasa
bertaubat, meninggalkan perkara sia-sia, tawaduk, menghormati kehidupan dan
mendoakan kebaikan untuk ahli keluarga.
Kata Kunci: Sifat perwatakan, pelaku
pembangunan, Surah al-Furqan.
PARADIGMA KEROHANIAN TERAS
KECEMERLANGAN KERJAYA
Nur Afifah Abu Hassan
afifah.hassan@ymail.com
Universiti Sains Malaysia
Pendekatan Islam dalam kerjaya meliputi
segenap aspek kehidupan baik dari segi ibadah, sahsiah, keterampilan, akhlak,
moral dan sebagainya. Kecemerlangan kerjaya menurut Islam lebih mengutamakan
paradigma kualitatif berupa aspek kerohanian yang menjadi asas dan tunjang
kehidupan. Selain itu, aspek kerohanian turut menjadi teras dalam pelaksanaan
dan pembangunan kerjaya individu. Walau bagaimanapun, paradigma kerohanian
sering kali diabaikan dalam mendasari teori dan konsep kecemerlangan kerjaya
terutamanya daripada perspektif Barat seperti teori motivasi Maslow dan teori
personaliti Super. Pendekatan kerjaya menurut Barat lebih menjurus kepada
paradigma kuantitatif yang terdiri daripada aspek ekonomi seperti pendapatan,
bonus, serta aspek sosial seperti pangkat, pencapaian dan kedudukan. Oeh yang
demikian, kertas kerja ini disediakan bagi menganalisis dan merumuskan
paradigma kerohanian sebagai teras kecemerlangan kerjaya setiap individu.
Kaedah perpustakaan dijalankan menerusi karya-karya sedia ada daripada ilmuwan
Islam serta sumber rujukan utama Islam iaitu al-Quran dan Hadis. Hasil kajian,
penulis mendapati akidah, ibadah dan akhlak menjadi tiga teras utama paradigma
kerohanian dalam meningkatkan kecemerlangan kerjaya individu.
Kata Kunci: Paradigma
Kerohanian, Kecemerlangan Kerjaya.
KAEDAH PENGURUSAN MOTIVASI PEKERJA:
ANALISIS DARI PERSPEKTIF LAZIM DAN
ISLAM
Noor Hidayah Samsudin
Dayahsam_Bluepaddy@Yahoo.Com
Universiti Sains Malaysia
Kualiti ataupun
pencapaian institusi akan meningkat ke arah yang lebih baik dengan adanya
pekerja yang bermotivasi. Oleh itu, pelbagai pendekatan telah dilakukan oleh
pihak pengurusan untuk meningkatkan motivasi pekerja mereka. Namun demikian,
timbul persoalan adakah pendekatan yang telah digunakan oleh pihak pengurusan
untuk meningkatkan motivasi pekerja sesuai untuk digunakan? Persoalan ini
penting kerana terdapat institusi Islam dan pekerja yang masih diterapkan
dengan pendekatan motivasi lazim. Ini menimbulkan persoalan seterusnya, apabila
sesebuah institusi Islam mengamalkan pendekatan motivasi lazim, adakah ianya
selari dengan kehendak Islam? Berlatarbelakangkan senario tersebut, kertas
kerja ini ditulis dengan tujuan untuk menganalisis perbezaan di antara kaedah
pengurusan motivasi pekerja mengikut perspektif lazim dan perspektif Islam.
Berdasarkan persoalan yang timbul, kajian ini akan mengupas jawapannya dengan
menggunakan pendekatan kualitatif dan kaedah analisis kandungan berdasarkan
data sekunder. Dapatan analisis menunjukkan terdapat perbezaan yang ketara di
antara sumber, insentif dan akauntabiliti yang diamalkan oleh kaedah pengurusan
motivasi pekerja dari perspektif lazim dan Islam. Namun demikian tetap wujud
persamaan di antara kedua-dua perspektif seperti menimbulkan minat,
persekitaran kerja yang menarik, peluang membuat keputusan, penghargaan dan
menyediakan latihan. Walau bagaimanapun, persamaan yang wujud ini masih
terbatas kerana pengurusan dari perspektif Islam harus menurut syariat Islam
manakala perspektif lazim tiada ketetapan. Dapatan dari kajian ini dapat
memberi panduan dan pengetahuan kepada pekerja dan pihak pengurusan tentang
pandangan motivasi daripada perspektif lazim dan perspektif Islam terutamanya.
Kata Kunci: Pengurusan
motivasi pekerja, perspektif lazim, perspektif Islam.
KEPATUHAN TADBIR URUS HAB HALAL JABATAN
HAL EHWAL
AGAMA ISLAM PULAU PINANG (JHEAIPP)
TERHADAP PIAGAM PELANGGAN
Siti Syuhadah Mohamad
syuz5586@yahoo.com.my
Universiti Sains Malaysia
Permintaan tinggi dan
pasaran halal yang luas telah mempengaruhi peningkatan bilangan usahawan
menceburi industri halal. Peningkatan ini secara tidak langsung membawa kesan
positif kepada industri halal. Bagi memenuhi permintaan usahawan yang kian
meningkat untuk memiliki pensijilan halal, pihak tadbir urus terikat dengan
piagam pelanggan dalam memberikan perkhidmatan berkaitan aktiviti halal.
Analisis dan tinjauan kajian lepas menunjukkan hubungan antara pihak usahawan
dan pihak tadbir urus hab halal memainkan peranan penting bagi memperkasa
industri halal. Oleh itu, kajian ini cuba mengenal pasti dan menganalisis
kepatuhan pihak tadbir urus JHEAIPP terhadap piagam pelanggan dari perspektif
usahawan. Bagi memenuhi objektif ini, kaedah penyelidikan mengaplikasikan data
primer dan sekunder iaitu melalui temu bual dan kajian kepustakaan. Kaedah
analisis kandungan digunakan untuk menganalisis data. Hasil tinjauan awal
mendapati pihak tadbir urus hab halal JHEAIPP berada di tahap yang sederhana
dalam memenuhi prinsip piagam pelanggan.
Kata Kunci: Hab
halal, Tadbir Urus, Piagam Pelanggan.
PERSEPSI PENGGUNA PERBANKAN ISLAM
TERHADAP MAKLUMAT IKLAN
DALAM PERIKLANAN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Teuku Meldi Kesuma
teuku_meldi@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Pesatnya pertumbuhan
korporat dan institusi yang berteraskan nilai-nilai Islam seperti institusi
kewangan Islam telah berlaku pada masa ini. Salah satu usaha yang dilakukan
adalah dengan mempromosikan produk dan perkhidmatannya kepada orang ramai
melalui iklan. Periklanan masih menjadi pilihan utama bagi maksud pemasaran
produk dan perkhidmatan oleh pengeluar. Persoalan penting yang hendak dibahas
dalam kertas kerja ini adalah bagaimanakah kriteria maklumat iklan dalam
periklanan dari perspektif Islam yang sepatutnya digunakan oleh
institusi-institusi kewangan Islam? Bagaimana pula persepsi pengguna terhadap
maklumat periklanan tersebut? Oleh itu tujuan kertas kerja ini adalah membina
satu konsep periklanan dari perspektif Islam dan mengenal pasti apakah
kriteria-kriteria yang sepatutnya ada dalam periklanan Islam. Metodologi kajian
yang digunakan iaitu kaedah kepustakaan, kajian lapangan dan analisis kandungan
berpandukan kepada data dan maklumat yang diperolehi daripada soal selidik sebanyak
450 reponden. Kajian ini mendapati kriteria maklumat iklan merupakan kriteria
periklanan dari perspektif Islam yang harus diperhatikan oleh pengeluar dan
korporat Islam.
Kata Kunci: Pengguna
Perbankan Islam, Maklumat Iklan, Periklanan Perspektif Islam.
ASAS KAEDAH PENYELIDIKAN DALAM
PENGHASILAN KITAB AL-HIND
DAN KITAB AL-ATHAR
Nur Ilani Mat Nawi
ukhti_ilani@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini bertujuan mengkaji
kaedah penyelidikan yang digunakan oleh Al-Biruni dalam menghasilkan Kitab
Al-Hind dan Kitab Al-Athar. Dalam menghasilkan dua buah kitab ini, Al-Biruni
dikatakan mempunyai sifat objektif. Persoalannya, apakah asas-asas kaedah
penyelidikan yang digunakan oleh Al-Biruni yang menjadikan beliau bersifat
objektif sedangkan kajiannya berkaitan dengan kitab-kitab Hindu? Bagi menjawab
persoalan ini, kajian-kajian terdahulu disorot dan diteliti dengan menggunakan
kaedah analisis kandungan. Kertas kerja ini mendapati bahawa terdapat lima asas
kaedah penyelidikan yang digunakan Al-Biruni dalam menghasilkan Kitab Al-Hind
dan Kitab Al-Athar iaitu kriteria seorang penyelidik, tipologi agama, kajian
kontekstual, kaedah mengkritik dan kaedah perbandingan.
Kata kunci: kaedah
penyelidikan, kitab Al-Hind, Kitab Al-Athar, Al-Biruni.
STRATEGI PENGURUSAN KAWALAN PENDUDUK UNITED NATIONS
POPULATION FUND (UNFPA) DARI PERSPEKTIF TASAWUR ISLAM
Nurul Suhada Ismail
zinnirah20@yahoo.com
Universiti Sains
Malaysia
Jangkaan bahawa penghuni dunia mencecah
sehingga 9.2 bilion orang pada tahun 2050 daripada jumlah kini 7 bilion orang
telah menimbulkan pelbagai reaksi. Reaksi tersebut timbul antara lain timbul
kerana isu pertambahan penduduk dunia menjadi pemangkin kepada masalah
kemiskinan, kebuluran, pengangguran, jurang yang besar antara kaya dan miskin
dan sebagainya. United Nations Population Fund (UNFPA) merupakan badan yang
bertanggungjawab dalam menangani situasi pertambahan penduduk ini. Pelbagai
strategi pengurusan kawalan penduduk yang telah diperkenalkan oleh UNFPA. Maka,
persoalannya apakah strategi pengurusan kawalan penduduk yang telah dibentuk?
Adakah strategi ini wajar dan boleh diguna pakai menurut perspektif Islam?
Persoalan ini timbul kerana negara-negara Islam turut mengamalkan strategi
pengurusan kawalan penduduk. Oleh yang demikian, makalah ini akan meneliti
strategi pengurusan kawalan penduduk yang diperkenalkan UNFPA dari perspektif
tasawur Islam. Perbincangan dalam makalah ini pertamanya mengenal pasti
strategi pengurusan kawalan penduduk UNFPA pada masa kini. Keduanya,
menganalisis strategi pengurusan kawalan penduduk UNFPA dari perspektif tasawur
Islam. Melalui kajian perpustakaan mendapati strategi ini tidak selari dengan
tasawur Islam kerana dari segi sumber, kandungan, dan matlamatnya yang tidak
mengaitkan elemen ketauhidan kepada Allah SWT. Justeru itu, makalah ini
merumuskan strategi pengurusan kawalan penduduk pada masa kini tidak sesuai
diamalkan oleh penduduk Islam.
Kata kunci: Strategi pengurusan,
Kawalan Penduduk, Tasawur Islam, UNFPA.
ISLAMIC TASAWUR (WORLDVIEW) AS A BASIS
OF ISLAMIC
QUALITY MANAGEMENT PARADIGM
Khatijah Othman
khatioth@yahoo.com.my
Universiti Sains Malaysia
The rigorous principle of Islamic
knowledge stems from the understanding of the whole concept of Islamic tasawur
(worldview). So does important for the field of Islamic Quality Management
(IQM) to have an in-depth philosophical understanding of Islamic tasawur in
developing its concept and theory for the implementation. Since the essence of
Islamic tasawur in IQM constitute the whole theory of Islamic quality, this
paper intent to define, discuss and elaborate on the relation of Islamic
tasawur and IQM. Thus, this paper intends to depict on how this Islamic
philosophical understanding shape the whole concept of IQM. The methodology
adopted in this study purely referred to the primary sources of Al-Quran and
hadith Rasulullah SAW. At the same time, content analysis is used to analyse
the opinion of Muslim scholars within this field. The finding of this study is
hoped to be able to use as a basis for the philosophical development of thought
and knowledge within the IQM theory. This subject is critical since the proper
philosophical understanding of IQM will, therefore, develop the system towards
a robust Shariah compliance and guideline as required in Islam.
Keywords: Islamic
Tasawur, Worldview, Islamic Quality Management, Shariah Compliance.
LEVEL OF KNOWLEDGE AND FACTORS
INFLUENCING INTENTION TO GIVE
CASH WAQF AMONG UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)
MUSLIM STAFF
Mohammad Zulfakhairi Mokthar
kellrie_1989@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Cash waqf started
since 1994 in Penang and offered a number of attractive schemes that supposedly
will attract the attention of the Muslim community. However the opposite
happened when the collection of cash waqf by the Penang Islamic Council
(MAINPP) remained inconsistent over the years which were high in one year and
low in the other. Despite promotion activities being done by the MAINPP the
positive impact lasted for a short period only. This situations raised some
issues whether MAINPP needs to do more frequent promotion or whether promotion
become a factor influencing cast waqf giving of Penang’s Muslim community. To
overcome the problem, MAINPP introduced several initiatives such as introducing
salary deduction services, online payment and even income tax exemption without
achieving a positive outcome. The question is, why these promotions and
services provided by MAINPP failed to encourage Penang Muslim community to
commit on cash waqf? Are there other factors that influence the community on
cash waqf? Thus, the present study attempts to determine factors influencing
Muslim staff of USM intention in giving cash waqf as an indicator for Penang
Muslim community. The first objective is to determine level of knowledge of USM
Muslim staff on cash waqf. The second objective is to identify which factors
received highest positive responses form USM Muslim staff in influencing their
intention to give cash waqf. The third objective is to analyse factors
influencing USM Muslim staff to give cash waqf. Data will be collected from 50
USM Muslim staff members and will be analysed quantitatively using descriptive
and inferential statistics. Three main findings of the study were, firstly, the
level of USM Muslim staff knowledge on cash waqf were high. Secondly, religious
compliance scored high on positive reactions in influencing intentions to give
cash waqf. Thirdly, regression analysis showed that understanding dimension was
the dominant dimension in influencing intention to give cash waqf. This
indicated that USM Muslim staff intention to give cash waqf was highly
influences by their level of knowledge regarding cash waqf. In conclusion, MAINPP
should give more attention on the service delivery to capture the community’s
attention on cash waqf as well as enhancing direct interaction with the
community.
Keyword: Level of
Knowledge, Factors influencing Intention, Cash Waqf, USM, Muslim Staff.
ANALISIS ONTOLOGI KEPIMPINAN SULTAN
MUHAMMAD AL-FATEH
Syafiqah Ismail
iqafiqah_90@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Sultan Muhammad al-Fateh
merupakan pemimpin yang baik berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW.
Persoalannya, apakah ciri-ciri atau ontologi kepimpinan beliau sehingga beliau
dikatakan sebagai pemimpin yang baik. Oleh itu, makalah ini bertujuan untuk
menganalisis ontologi kepimpinan Sultan Muhammad al-Fateh. Secara lebih khusus,
makalah ini cuba menjawab dua persoalan. Pertama, apakah kisah-kisah berkaitan
sejarah hidup Sultan Muhammad al-Fateh yang dapat dikaitkan dengan kepimpinan
beliau? Kedua, apakah ontologi kepimpinan Sultan Muhammad al-Fateh? Melalui
kajian perpustakaan, makalah ini mendapati terdapat beberapa kisah yang dapat
dikaitkan dengan ontologi kepimpinan Sultan Muhammad al-Fateh seperti kisah
ketika beliau masih dalam buaian, kisah gelaran al-Fateh, kisah dirotan tanpa
sebab, kisah daratan menjadi lautan dan kisah pemilihan imam Masjid Aya Sofya.
Ontologi kepimpinan beliau pula dapat dilihat daripada aspek iman dan taqwa,
ilmu, didikan, motivasi dan disiplin.
Kata Kunci: Ontologi,
kepimpinan Islam, Sultan Muhammad al-Fateh, Konstantinopel.
TAKSIRAN ZAKAT PADI DALAM KALANGAN
USAHAWAN PADI DI KAWASAN LEMBAGA KEMAJUAN PERTANIAN KEMUBU (KADA), KELANTAN
Mohd Rizal Abu Bakar
rizal85_usm@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Aktiviti penanaman
padi di Kelantan kini banyak diusahakan secara komersial oleh petani khususnya
di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA). Petani ini dikenali
sebagai usahawan padi. Terdapat perbezaan fatwa terhadap kaedah taksiran yang
digunapakai antara padi yang diusahakan secara estet dengan secara individu.
Persoalannya, bagaimanakah taksiran zakat terhadap hasil pertanian padi yang
diusahakan secara komersial? Adakah berdasarkan hasil kasar atau setelah
ditolak terlebih dahulu kos penanaman dan kos sara hidup petani? Kertas ini
bertujuan menganalisis dapatan kajian terhadap taksiran zakat pertanian dalam
kalangan usahawan padi di KADA, Kelantan. Berdasarkan analisis kandungan kertas
ini akan menjawab persoalan-persoalan tersebut. Akan dihujahkan berdasarkan
tulisan klasik dan kontemporari, zakat padi ini sepatutnya ditaksirkan
berdasarkan hasil bersih setelah ditolak kos tanaman dan kos sara hidup.
Kata Kunci: Taksiran
zakat, hasil pertanian komersial, usahawan padi.
EXPORTING ACTIVITY OF MUSLIM FIRMS:
MEASURING ACTIONS INSTEAD OF INTENTIONS
Zaharah Ghazali
Zaharahg@Unisza.Edu.My
Universiti Sains Malaysia
Exporting activity of
conventional exporters is well documented and much research attention has been
given to their attitudinal and behavioral evaluations. For Muslims, however, it
requires an extending concept aimed at the actions of gaining god's blessings.
Purposely, this paper considers the factors that determine the direction of
good performance with specific reference to Muslim firms operating in
halal export sector. The paper draws on the debate surrounding exporting
activity issue from the Qur'an, the Sunnah, and a combination of the
contemporary Islamic thought and relevant literature. As a result, hypotheses
are formulated. The aspects can be classified in six dimensions, that is,
export orientation, export expansion, financial resources, information
acquisition, cooperative networking, and strategic marketing.
Keyword: Exporting
activity, Muslim firms, Islamic perspective.
UKHUWAH ISLAMIYYAH DALAM KONTEKS
GERAKAN POLITIK MELAYU-ISLAM: REFLEKSI TERHADAP PERPADUAN POLITIK UMAT ISLAM DI
MALAYSIA
Wafdi Auni Mohamed
qalaminda@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Timbul persoalan
dalam kalangan sarjana bahawa telah kelihatan di Malaysia, Islam yang
sepatutnya menyeru kepada penyatuan, perpaduan dan perdamaian seakan menjadi
punca konflik dan persaingan terutama dalam politik Melayu-Islam. Hakikatnya
penyatuan dan perpaduan merupakan pra-syarat utama yang ditunjukkan oleh
Rasulullah SAW dalam pembinaan negara umat Islam yang berjaya seperti di
Madinah. Persoalannya, mengapakah penyatuan dan perpaduan yang amat digalakkan
dalam Islam seolah merangsangkan lagi kepada perpecahan politik Melayu-Islam
dan menjadi kontradiksi terhadap aplikasi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Justeru, kertas kerja ini ditulis dengan tujuan untuk mencapai dua matlamat.
Pertama, untuk mengenal pasti maksud sebenar perpaduan dan penyatuan menurut
Islam. Kedua, untuk menganalisis konsep perpaduan berteraskan Islam dalam
konteks penyatuan gerakan politik Melayu-Islam di Malaysia. Kajian ini
menggunakan kajian perpustakaan untuk mendapatkan data sekunder. Manakala
analisis kandungan digunakan untuk menganalisis data tersebut. Dapatan kajian
ini menunjukkan bahawa konsep ukhuwah Islamiyyah merupakan maksud sebenar
perpaduan dan penyatuan yang dianjurkan oleh Islam terhadap umat dan masyarakat
yang berjaya seperti di Madinah. Terdapat enam tahap iaitu ta’aruf, ta’aluf,
tafahum, ri’ayah, ta’awun dan tanashur dalam konsep ukhuwwah Islamiyyah.
Justeru, konsep ukhuwah Islamiyyah dilihat memberi satu refleksi ke arah
mewujudkan gagasan perpaduan yang bersifat kenegaraan bagi umat Islam dan
masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Kata Kunci: Ukhuwah
Islamiyyah, politik Melayu-Islam, Malaysia.
AKAD PEMBIAYAAN MUDHARABAH DALAM MEMENUHI
NILAI KEADILAN
Isnaini
isn25@yahoo.co.id
Universiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini
ditulis untuk menganalisis akad pembiayaan mudharabah yang mempunyai nilai
keadilan yang di amalkan oleh bank SUMUT syariah di Medan Indonesia. Dalam
amalannya perbankan SUMUT Syariah menggunapakai duel windows sistem. Hal ini
menarik untuk dikaji, di antaranya pelaksanaan akad pembiayaan mudharabah dalam
amalannya di bank SUMUT syariah menggunakan mekanisme perkongsian untung
(revenue sharing). Hal ini sangat bertentangan dengan ciri khusus dan asas bagi
operasional bank syariah iaitu asas bagi hasil (profit and loss sharing),
sehingga tidak memberikan rasa keadilan bagi para mudharib. Untuk menjawab
penyelidikan ini, metode yang digunakan bersifat deskriptif analisis dengan
metode pendekatan yang dilakukan adalah yuridis normatif dengan cara
menganalisis data primer dan sekunder sehingga menghasilkan jawaban daripada
permasalahan yang ada. Selanjutnya data yang diperoleh dari hasil penyelidikan,
akan dianalisis secara kualitatif. Hasil yang dicapai daripada kajian ini
adalah untuk menganalisis akad pembiayaan di bank SUMUT syariah yang mempunyai
nilai keadilan, sehingga dijangkakan boleh memperkasakan pengusaha kecil dalam
penyediaan modal perniagaan dan penyempurnaan pembuatan akta pembiayaan
mudharabah yang berkeadilan sehingga ada kepeberpihkan kepada mudharib.
Kata Kunci: Akad
Pembiayaan, Mudharabah, Keadilan.
PROGRAM PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DALAM
KALANGAN USAHAWAN ASNAF WANITA DI LEMBAGA ZAKAT SELANGOR
Ku Nor Ashikin Ku Ahmad Zamri
kunor2005@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Agihan zakat di Lembaga Zakat Selangor
(LZS) dilaksanakan dalam bentuk saradiri; dan bentuk produktif. Zakat saradiri
digunakan untuk memenuhi keperluan asas asnaf dalam menjalankan kehidupan
seharian sebagai penerima zakat. Zakat produktif pula diagihkan melalui bantuan
penggunaan semasa, perubatan, keusahawanan, keagamaan dan kecemasan. LZS
merupakan institusi zakat pertama yang menjadi pelopor dalam proses agihan
bantuan zakat dalam bentuk modal perniagaan dan latihan keusahawanan. Hanya LZS
sahaja mempunyai lima program pembangunan khusus kepada golongan asnaf.
Program-program tersebut adalah Program Pembangunan Sosial, Program Pembangunan
Ekonomi, Program Pembangunan Pendidikan, Program Pembangunan Institusi Agama
dan Program Pembangunan Insan. Pengagihan zakat melalui Program Pembangunan
Ekonomi merupakan mekanisme yang dilihat dapat menangani masalah kemiskinan.
Dalam program tersebut, program keusahawanan merupakan program yang diberi
keutamaan. Persoalannya, apakah program pembangunan keusahawanan dalam kalangan
usahawan wanita asnaf di LZS? Berdasarkan data sekunder melalui analisis
kandungan, kertas ini akan cuba menjawab persoalan yang dibangkitkan di atas.
Kata Kunci: Lembaga
Zakat Selangor, Usahawan Asnaf Wanita, Program Pembangunan Keusahawanan.
PENJANAAN PEMBIAYAAN PEMBANGUNAN
PENDIDIKAN DI PONDOK
AL-NAHDHOH (PAN) MELALUI INSTRUMEN
WAKAF
Farahdina Fazial
dinafazial@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Penjanaan harta wakaf
merupakan elemen yang penting dalam pembiayaan pembangunan pendidikan di
Malaysia. Harta wakaf memainkan peranan utama dalam membangunkan sosial ekonomi
Islam pada amnya dan pendidikan khususnya. Pondak Al-Nahdhoh (PAN) merupakan
sebuah sekolah agama persendirian yang tidak mendapat bantuan dana daripada
kerajaan negeri dan pusat. Oleh itu, pihak sekolah perlu berusaha untuk
mendapatkan dana kewangan melalui pelbagai sumber seperti sedekah, wakaf dan
zakat. Namun, sumbangan kewangan ini masih belum mencukupi untuk menampung
kemudahan persekolahan secara menyeluruh. Kaedah penjanaan harta wakaf
dilakukan bagi memastikan kelestarian sumber wakaf untuk membiayai pembangunan
pendidikan sekolah. Justeru itu, kertas kerja ini bertujuan mengenal pasti
bentuk-bentuk pembiayaan Islam dalam pengurusan pembangunan pendidikan di PAN.
Kedua, menganalisis instrumen wakaf yang sesuai dalam pembiayaan pembangunan
pendidikan di PAN. Ketiga, merumus instrumen wakaf yang dapat membangunkan
pembangunan pendidikan di PAN secara lestari. Analisis dilakukan dengan
menggunakan data primer, data sekunder dan analisis kandungan sebagai alat
menganalisis kajian ini. Akhirnya, kajian ini mendapati pencapaian pembangunan
pendidikan yang baik dan lestari dapat dilaksanakan melalui kaedah penjanaan
dana wakaf yang bersistematik, berterusan, terancang dan menyeluruh.
Kata Kunci: Pengurusan
Aset Islam, Instrumen Wakaf.
PRINSIP PEMBANGUNAN KOTA BHARU BANDAR
RAYA ISLAM DARI
PERSPEKTIF PRINSIP PEMBANGUNAN
BERTERASKAN ISLAM
Siti Romilah Mat Yajid
sromilah.myajid@gmail.Com
Universiti Sains Malaysia
Sudah sembilan tahun
Kota Bharu diisytiharkan sebagai bandar raya Islam. Timbul persoalan, adakah
prinsip pembangunan Bandar Raya Islam Negeri Kelantan sudah memenuhi syarat
prinsip pembangunan berteraskan Islam? Apakah keislamannya terletak kepada
justifikasi-justifikasi atau kepada tasawur dan epistemologinya? Kertas kerja
ini bertujuan menganalisis prinsip pembangunan Kota Bharu Bandar Raya Islam
dari perspektif prinsip pembangunan berteraskan Islam. Dengan menggunakan
analisis tekstual kertas kerja ini mendapati bahawa pengisytiharan Kota Bharu
sebagai Bandar Raya Islam telah melahirkan kriteria-kriteria yang ingin dicapai
dan sekali gus menjadi prinsip kepada pembangunan bandar raya Islam Kota Bharu.
Kriteria tersebut dinamakan sebagai 5Kaf (Keilmuan, Kepatuhan, Kebajikan,
Kebersihan dan Kesejahteraan). Ciri-ciri 5K diterapkan dalam setiap aktiviti
pembangunan Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu pembangunan pengurusan,
pembangunan insan, pengurusan fizikal dan pembangunan ekonomi. Ciri-ciri 5K
dapat dilihat dalam tiga aspek iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT,
hubungan manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar.
Kata Kunci: Prinsip
Pembangunan Bandar Raya Islam, Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam.
KEPIMPINAN DALAM PEMBANGUNAN
BERTERASKAN ISLAM
Norhidayati Nadiha Mukri
hidayatinadiha@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Subjek kepimpinan seringkali menjadi
topik perbahasan dalam pelbagai bidang antaranya bidang pengurusan dan
pentadbiran, psikologi, pendidikan, politik dan sebagainya. Namun kepimpinan
dalam bidang pembangunan masih belum dibincangkan. Pembangunan yang ingin
dilaksanakan memerlukan kepada kepimpinan. Pemimpin memainkan peranan penting
menguruskan dan memimpin orang bawahannya untuk bersama-sama bekerja bagi
mencapai matlamat pembangunan yang telah dirancang. Kepimpinan juga penting
untuk memastikan hala tuju serta kelancaran dalam sesebuah pembangunan
seterusnya mengurangkan masalah-masalah yang timbul dalam proses melaksanakan
pembangunan. Masalah-masalah yang timbul dalam proses pembangunan seperti kemiskinan,
pengagihan hak milik dan masalah pengurusan alam sekitar sukar diatasi walaupun
pembangunan berkembang pesat. Oleh yang demikian, kepimpinan dalam pembangunan
dilihat sebagai salah satu punca masalah ini sukar diselesaikan. Jika ditinjau
dari perspektif sejarah kepimpinan pada zaman Rasulullah SAW, tidak dapat
dinafikan lagi bahawa Rasulullah SAW sendiri adalah contoh ikutan terbaik yang
boleh diikuti sepanjang zaman. Justeru kertas kerja ini akan menganalisis
kepimpinan dalam pembangunan berteraskan Islam berdasarkan kepimpinan
Rasulullah SAW dengan menggunakan analisis kandungan. Kertas kerja ini
mempunyai dua tujuan utama. Pertama menganalisis perkaitan masalah dalam
pembangunan dengan kepimpinan dalam pembangunan. Kedua, mengenal pasti kepimpinan
dalam pembangunan pada zaman Rasulullah SAW untuk dijadikan panduan kepada
kepimpinan dalam pembangunan berteraskan Islam. Bagi mengkaji dan memahami
kepimpinan pada zaman Rasulullah SAW dengan mengkhususkan kepimpinan dalam
pembangunan, kajian ini akan menggunakan Kitab Fiqh al-Sirah karangan Muhammad
Sa’id Ramadan al-Buti sebagai rujukan. Hasil kajian mendapati kepimpinan
merupakan salah satu aspek penting dalam pembangunan yang mempengaruhi proses
pembangunan yang dirancang. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh tauladan
terbaik sebagai pemimpin dalam menguruskan pembangunan. Hasil analisis juga
mendapati kepimpinan dalam pembangunan pada zaman Rasulullah SAW mengutamakan
tiga hubungan iaitu hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan
dengan sumber alam.
Kata Kunci:
kepimpinan, pembangunan, kepimpinan Rasulullah SAW.
UNSUR-UNSUR DAKWAH DALAM FILEM DAKWAH
DI MALAYSIA
Sofyatul Azlyn Shariffuddin
soflyn89@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Filem dakwah kini
semakin mendapat perhatian ramai malah lebih banyak penerbit yang menghasilkan
filem-filem seperti ini. Namun, adakah filem-filem yang dihasilkan menepati
ciri-ciri dakwah yang digariskan dalam Islam atau filem-filem ini dihasilkan
hanya untuk meraih keuntungan semata-mata? Bagi menjawab persoalan ini, filem 7
Petala Cinta dan filem Ustaz, Mu Tunggu Datang dipilih untuk dianalisis. Kertas
kerja ini mempunyai dua tujuan. Pertama, menganalisis unsur-unsur dakwah dalam
filem 7 Petala Cinta dan filem Ustaz, Mu Tunggu Datang dan yang kedua,
merumuskan ciri-ciri filem yang berunsurkan dakwah. Berdasarkan tujuan pertama,
timbul tiga persoalan. Pertama, bagaimanakah plot cerita kedua-dua filem yang
telah dipilih berdasarkan unsur-unsur dakwah? Kedua, bagaimanakah keterampilan
pelakon dalam kedua-dua filem yang telah dipilih berdasarkan unsur-unsur
dakwah? Dan yang ketiga, bagaimanakah tarbiyah dalam kedua-dua filem yang telah
dipilih berdasarkan unsur-unsur dakwah? Bagi menjawab persolan-persoalan ini,
kertas kerja ini menggunakan kaedah analisis kandungan dan kajian perpustakaan.
Kajian kualitatif yang dijalankan mendapati filem dakwah masih mempunyai mesej
dakwah namun tetap terdapat kepincangan dalam menyampaikan usaha dakwah
tersebut melalui filem dakwah.
Kata Kunci: Unsur-unsur
dakwah, dakwah, filem dakwah.
ANALISIS TASAWUR DAN EPISTEMOLOGI PIAWAIAN AMALAN PENGILANGAN ISLAM
(IMP)
Ashikin Ismail
iashikin@yahoo.com.my
Universiti Sains
Malaysia
Di Malaysia, pemberian pensijilan halal
bagi produk makanan akan dilakukan dan dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan
Islam (JAKIM). Selain JAKIM, Komuniti IMP yang merupakan sebuah badan NGO juga
ada mewujudkan piawaian halal yang dikenali sebagai Piawaian Amalan Pengilangan
Islam (IMP). Menurut pihak Komuniti IMP, piawaian IMP menekankan bukan sahaja
elemen halal tetapi juga toyyiba. Namun setakat ini belum ada lagi kajian
secara mendalam yang dilakukan bagi membuktikan kesahihan kenyataan ini. Oleh
itu kertas kerja ini bertujuan untuk mengenal pasti tasawur dan epistemologi
piawaian IMP. Tasawur merupakan satu acuan atau panduan yang dipegang manakala
epistemologi adalah satu cabang falsafah yang mengkaji tentang asal usul,
kaedah atau struktur sesuatu pengetahuan. Tasawur dan epistemologi digunakan
sebagai kayu ukur dalam kertas kerja ini adalah untuk mengkaji tentang asas
pembentukan dan pembangunan piawaian IMP. Penelitian yang dilakukan menggunakan
kaedah temu bual dan analisis kandungan mendapati bahawa tasawur dan
epistemologi piawaian IMP ini bersumberkan daripada al-Quran dan juga Hadis.
Hasil daripada penelitian pengkaji juga mendapati bahawa pengasas piawaian IMP
ini menekankan tiga perkara pokok di dalam Islam iaitu Tauhid, Fiqh dan juga
Tasawuf dan mengaplikasikannya dalam pelaksanaan piawaian IMP.
Kata kunci: Piawaian halal, halal,
tasawur Islam, epistemologi Islam.
ANALISIS KAJIAN PELANCONGAN ISLAM
Siti Sakinah Syed Hamzah
sitisakinah90@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Selepas peristiwa 11 September 2001
berlakunya perubahan corak perjalanan pelancongan di mana aliran kedatangan
pelancong Muslim ke negara-negara Islam semakin meningkat. Kini, sektor
pelancongan Islam dilihat semakin diberi perhatian dalam dunia pelancongan
serta berpotensi dalam meningkatkan kadar ekonomi negara Islam. Sehubungan itu,
sebagai satu sektor yang makin berkembang khususnya bagi negara-negara Islam,
kertas kerja ini bertujuan untuk meneliti setakat mana pengkaji-pengkaji lepas
mengkaji tentang pelancongan Islam. Penelitian melalui analisis kandungan,
mendapati bahawa kajian-kajian lepas berkaitan pelancongan Islam masih terhad
dan banyak kajian yang melihat tentang potensi dan cabaran dalam mempromosikan
negara masing-masing. Selain itu, kajian dan karya berkaitan pelancongan Islam
yang dilakukan oleh pengkaji-pengkaji lepas juga terdapat konflik yang timbul
untuk mengetengahkan Islam dalam sektor pelancongan masa kini.
Kata Kunci: Pelancongan,
Islam, Pelancongan Islam.
MEKANISME QADI AL-QADAT DALAM STRUKTUR
PENTADBIRAN MODEN
Siti Nor Ain Binti Mayan
ainibnumayan@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Kualiti kakitangan
awam sering mendapat perhatian sehingga digubal pelbagai strategi untuk tujuan
peningkatan kualiti kerja. Salah satu daripadanya ialah penubuhan Biro
Pengaduan Awam (BPA) yang bertujuan meningkatkan integriti penjawat awam,
membendung salah laku serta menyelesaikan lain-lain masalah yang melibatkan
penjawat awam. Pada pemerintahan Saidina Umar al-Khattab wujud mekanisme yang
menangani salah laku dan penyelewengan penjawat awam iaitu qadi al-qadat.
Persoalannya apakah mekanisme qadi al-qadat ini? Adakah ia menyamai BPA?
Makalah ini akan menjawab persoalan-persoalan tersebut dengan analisis tekstual
melalui sumber sekunder daripada kajian-kajian lepas. Makalah ini mempunyai dua
tujuan iaitu meneliti qadi al-qadat yang digunakan di zaman Saidina Umar
al-Khattab dan mengenal pasti mekanisme BPA yang ditubuhkan pada hari ini.
Hasil analisis mendapati, qadi al-qadat terbahagi kepada empat bahagian utama
iaitu pengaduan, penyiasatan, pengadilan dan muhasabah. Manakala berbeza dengan
BPA hanya terbahagi kepada tiga bahagian sahaja iaitu pengaduan, penyiasatan
dan pemutusan kes. Melalui penelitian ini menggambarkan hanya sebahagian
mekanisme qadi al-qadat digunakan dalam pentadbiran moden seperti BPA.
Kata Kunci: Pentadbiran,
Integriti, Penjawat Awam, Qadi al-qadat , BPA.
ELEMEN PENGURUSAN INSAN DALAM
PEMBENTUKAN TAMADUN ISLAM
lenny luat
lennykristinie@yahoo.com.my
Universiti sains malaysia
Kertas kerja ini
bertujuan untuk menganalisis secara terperinci elemen pengurusan insan dalam
pembentukan tamadun Islam. Pengurusan insan memainkan peranan penting dalam
menentukan kemunduran dan kemajuan sesebuah tamadun. Bangsa Arab yang sebelumnya
terkenal dengan sifat panas baran, membunuh anak perempuan, berhala, merompak
telah menjadi bangsa yang berilmu, bertaqwa, bersatu padu, berakhlak, berkasih
sayang sehingga berjaya membina tamadun. Ini terbukti melalui kejayaan
pengurusan insan pada zaman Rasulullah. Persoalannya, bagaimana kaedah
Rasulullah mengurus insan di zamannya? Apakah elemen-elemen yang perlu dalam
pengurusan insan supaya pembentukan tamadun mencapai kegemilangan? Untuk
meneliti dengan lebih terperinci lagi, kertas kerja ini akan menggunakan
pendekatan penyelidikan kualitatif dan kaedah analisis kandungan berdasarkan
sumber daripada Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam. Dapatan kajian ini dijangkakan
dapat mengemukakan elemen-elemen pengurusan insan dalam pembentukan tamadun
yang berteraskan Islam.
Kata Kunci: Pengurusan
insan, tamadun.
PELAKSANAAN KONSEP AL-WASATIYYAT DI
MALAYSIA:
ANALISIS BERDASARKAN TAFSIRAN
AL-MUFASSIRIN
Syaidatana Siti Aishah Ab Aziz
ishah_313@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Konsep al-wasatiyyat merupakan salah
satu daripada ciri-ciri khusus tasawur Islam. Ia merupakan salah satu konsep
yang dijadikan sebagai pendukung kepada pelaksanaan Gagasan 1 Malaysia.
Tujuannya adalah untuk mengelak masyarakat daripada dipengaruhi oleh fahaman
ekstremisme. Bukan setakat itu, bahkan melalui konsep ini bertujuan memupuk
perpaduan kaum di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan
budaya. Persoalannya, apakah konsep al-wasatiyyat yang diguna pakai oleh
kerajaan Malaysia yang menjadi pendukung kepada G1M? Adakah konsep
al-wasatiyyat tersebut selari dengan konsep al-wasatiyyat menurut pandangan
al-mufassirin? Kertas kerja ini akan cuba menjawab kedua-dua persoalan ini
dengan menumpukan perbincangan kepada dua perkara utama. Pertama, mengenal
pasti pelaksanaan konsep al-wasatiyyat di Malaysia; dan kedua, menganalisis
pelaksanaan konsep al-wasatiyyat di Malaysia berdasarkan tafsiran
al-mufassirin. Akhirnya kajian kualitatif yang menggunakan analisis kandungan
ini mendapati bahawa konsep al-wasatiyyat menurut tafsiran al-mufassirin adalah
membawa mesej pelaksanaan yang adil, terbaik, terpilih, seimbang, sederhana,
pertengahan, mulia, sempurna, dan tidak melampau. Oleh itu, setiap aspek
kehidupan manusia yang merangkumi politik, ekonomi, sosial, budaya, agama dan
pendidikan harus berteraskan kepada tuntutan dan ajaran al-Qur’an yang
menggalakkan pendekatan konsep al-wasatiyyat.
Kata Kunci: Konsep, al-Wasatiyyat,
al-Mufassirin
AGIHAN ZAKAT MENGIKUT SYEIKH MUHAMMAD
ARSYAD AL-BANJARI:
ANALISIS TERHADAP ZAKAT PRODUKTIF
Nooramira Ghazali
nooramira_yaa@yahoo.com
Universiti Sains
Malaysia
Kertas ini bertujuan untuk menganalisis
agihan zakat dalam kitab Sabil al-Muhtadin yang dibahaskan oleh Syeikh Muhammad
Arsyad al-Banjari. Kitab Sabil al-Muhtadin merupakan antara tulisan Syeikh Muhammad
Arsyad al-Banjari yang termasyhur di Nusantara. Persoalannya, bagaimanakah
Syeikh Muhammad membahaskan agihan zakat di dalam kitab Sabil al-Muhtadin.
Kertas ini terbahagi kepada tiga. Pertama, menyorot secara ringkas biodata
Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari sebagai latar belakang. Kedua, mengenal pasti
agihan zakat dalam kitab Sabil al-Muhtadin. Ketiga, menganalisis agihan zakat
produktif mengikut Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dalam kitab Sabil
al-Muhtadin. Kaedah analisis kandungan akan digunakan terhadap data sekunder
yang diperolehi dalam kitab Sabil al-Muhtadin. Walaupun kitab Sabil al-Muhtadin
hasil penulisan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari merupakan kitab klasik, namun
kitab ini masih relevan untuk digunapakai dalam menentukan agihan zakat
produktif yang dibahaskan oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Kata Kunci: Agihan
Zakat dan Zakat Produktif.
TAFSIRAN ZAKAT PERTANIAN BERDASARKAN
AYAT 141 SURAH AL-AN'AM
Nurul 'Aqidah Moklis
nurul_aqidahmoklis90@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Hasil pertanian
merupakan salah satu sumber harta dan hasil yang diwajibkan zakat dengan
syarat-syarat tertentu. Antara dalil pensyariatan kewajipan zakat ke atas hasil
pertanian adalah berdasarkan ayat 141 surah al-An’am. Persoalannya, apakah
jenis-jenis hasil pertanian yang disebutkan dalam ayat 141 surah al-An’am?
Apakah tafsiran hasil pertanian berdasarkan ayat 141 surah al-An’am menurut
pandangan ulama tafsir? Bagaimanakah kaedah taksiran zakat pertanian
berdasarkan ayat 141 surah al-An’am menurut pandangan ulama tafsir? Berdasarkan
analisis kandungan, kertas ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama,
menganalisis asbabun nuzul iaitu sebab turunnya ayat 141 surah al-An’am
berdasarkan ulama tafsir. Kedua, menganalisis tafsiran jenis-jenis hasil
pertanian berdasarkan ayat 141 surah al-An’am menurut pandangan ulama tafsir.
Ketiga, menganalisis kaedah taksiran zakat pertanian berdasarkan ayat 141 surah
al-An’am menurut pandangan ulama tafsir. Hasil kajian ini akan dapat mengenal
pasti jenis-jenis hasil pertanian yang wajib dizakatkan berdasarkan ayat 141
surah al-An’am menurut pandangan ulama tafsir.
Kata Kunci: Taksiran,
tafsiran, zakat dan hasil pertanian.
PENETAPAN HAD AL-KIFAYAH KEPADA ASNAF
FAKIR DAN MISKIN DI MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (MAIWP)
Mahirah Ramli
mahirahramli_90@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Had al-kifayah ialah
kadar keperluan yang minimum untuk diri dan tanggungan dalam menentukan tahap
kelayakan menerima zakat. Kaedah penetapan had al-kifayah dipengaruhi oleh
tempat, masa dan status sosial asnaf. Persoalannya, apakah keperluan asas yang
diambil kira dalam penetapan had al-kifayah di MAIWP? dan bagaimanakah amaun
had al-kifayah ditentukan? Berdasarkan data sekunder dan data primer melalui
analisis kandungan. Kertas kerja ini dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama,
mengenalpasti keperluan asas yang diambil kira dalam penetapan had al-kifayah
di MAIWP pada masa kini. Kedua, menganalisis pandangan pegawai Zakat MAIWP dan
ahli akademik tentang penetapan had al-kifayah. Ketiga, merumuskan kaedah
penetapan had al-kifayah. Hasil kajian ini mendapati amaun yang ditetapkan akan
sentiasa mengalami perubahan bergantung taraf hidup pada masa kini.
Kata Kunci: Had
al-kifayah, asnaf fakir, asnaf miskin.
PENGGUNAAN AL-IFTA’ DALAM KAEDAH
PENYELIDIKAN BERTERASKAN ISLAM (KPI)
Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldin
wanfirdaus@unisza.edu.my
Universiti Sains Malaysia
Al-Ifta’ adalah satu
kaedah yang digunakan oleh mufti dalam menentukan hukum ke atas permasalahan
semasa yang berkaitan dengan agama Islam. Al-Ifta’ merupakan peringkat terakhir
dalam proses penfatwaan sebelum sesuatu hukum diputuskan. Kertas kerja ini bertujuan
untuk melihat apakah kaedah al-Ifta’ ini boleh digunakan dalam Kaedah
Penyelidikan Berteraskan Islam (KPI). Bagi mencapai tujuan ini, kajian
perpustakaan dan analisis tekstual digunakan. Hasilnya disusun dalam dua
bahagian utama. Bahagian pertama menerangkan maksud dan penggunaan al-Ifta’
dalam menentukan hukum. Bahagian kedua pula membincangkan kemungkinan
penggunaan al-Ifta’ ini dalam Kaedah Penyelidikan Berteraskan Islam. Kertas
kerja ini menunjukkan bahawa kaedah al-Ifta’ mempunyai beberapa kriteria yang
perlu diteliti sebelum sesuatu hukum diputuskan oleh seseorang mufti. Kriteria
tersebut ialah tidak taasub atau tidak taklid buta, fatwa yang memudahkan
selagi bertepatan dengan syarak, fatwa dengan bahasa yang mudah, fatwa pada
perkara yang bermanfaat sahaja, fatwa yang bersifat pertengahan, dan fatwa yang
boleh difahami oleh mustafti (penyoal). Hasil dapatan juga mendapati kaedah
al-Ifta’ ini diaplikasikan sebagai kaedah penentuan hasil dapatan kajian dalam
kaedah penyelidikan berteraskan Islam.
Kata Kunci: Al-Ifta’,
Kaedah penyelidikan berteraskan Islam, Hasil dapatan.
AGIHAN DANA ZAKAT KEPADA ASNAF MUALAF
DI MALAYSIA:
ANALISIS BERDASARKAN LAMAN SESAWANG
Siti Nuraisyah Hashim
sya_134@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Kertas ini cuba
membincangkan pengagihan dana zakat kepada asnaf mualaf. Dalam al-Quran, mualaf
disebut bersama tujuh lagi asnaf yang layak menerima dana zakat. Namun begitu,
tiada penghuraian lanjut berkenaan asnaf ini. Persoalannya, siapakah yang dapat
digolongkan sebagai asnaf mualaf? Apakah tafsiran mualaf menurut Jabatan Wakaf,
Zakat dan Haji (JAWHAR)? Bagaimanakah pula agihan dana zakat kepada asnaf ini?
Oleh itu, kertas kerja ini dibahagikan kepada dua bahagian. Dengan menggunakan
analisis kandungan, bahagian pertama kertas kerja ini akan membincangkan
tafsiran mualaf mengikut JAWHAR dan fatwa di institusi zakat. Bahagian kedua
akan menganalisis apa yang dipamerkan oleh institusi zakat di Malaysia dalam
laman sesawang. Dapatan menunjukkan pada asasnya agihan kepada mualaf diberikan
mengikut panduan yang telah dinyatakan dalam manual yang dikeluarkan JAWHAR.
Kata Kunci: Zakat,
mualaf.
ANALISIS KAEDAH PENDIDIKAN DALAM PELAN
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA
(2013-2025) BERDASARKAN KAEDAH PENDIDIKAN
AL-GHAZALI
DALAM KITAB IHYA' 'ULUM AL-DIN
Siti Arinah Ahmad
arien0111@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Pendidikan merupakan
antara elemen terpenting dalam usaha mencapai kesejahteraan dan kesempurnaan
hidup manusia. Berdasarkan perspektif Islam, pendidikan harus melibatkan proses
melatih akal, jasmani dan rohani serta menggunakan al-Qur'an dan Hadis sebagai
rujukan dan pegangan utama. Sejak tahun 2006, pendidikan di Malaysia dilaksana
berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang dirangka oleh kerajaan dan pada
September 2012, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025). Persoalannya, adakah PPPM (2013-2025)
merupakan satu usaha ke arah pembangunan berteraskan Islam? Maka, satu semakan
semula tentang kaedah pendidikan yang termaktub dalam PPPM (2013-2025) harus
dilakukan. Untuk melakukan penelitian ini, kaedah pendidikan yang digunakan
oleh seorang tokoh ilmuwan dipilih iaitu al-Ghazali lantaran penguasaannya
dalam pelbagai disiplin ilmu. Berdasarkan permasalahan yang timbul, kajian ini
dijalankan dengan berpandukan dua objektif khusus. Pertama, mengenal pasti
kaedah pendidikan dalam PPPM (2013-2025). Kedua, menganalisis kaedah pendidikan
dalam PPPM (2013-2025) berdasarkan kaedah pendidikan al-Ghazali dalam Kitab
Ihya' 'Ulum al-Din. Bagi mencapai kedua-dua objektif ini, kajian berbentuk
penerokaan dilakukan terhadap dua sumber utama kajian ini iaitu PPPM
(2013-2025) dan Kitab Ihya' 'Ulum al-Din Jilid 1. Hasil dapatan kajian
menunjukkan bahawa PPPM (2013-2025) dirangka berdasarkan falsafah lazim dari
Barat. Kaedah pendidikan yang diketengahkan dalam PPPM (2013-2025) juga
bertujuan untuk pembangunan ekonomi negara dan tidak menepati tasawur Islam.
Pelan Pembangunan yang dihasilkan oleh pakar di Malaysia ini tidak mampu untuk
menghasilkan rakyat yang menghambakan diri kepada Allah SWT. Selain itu, kajian
mendapati kaedah pendidikan yang diketengahkan dalam PPPM (2013-2025) secara
keseluruhannya tidak selari dengan kaedah pendidikan yang disarankan al-Ghazali
dalam Kitabnya Ihya' 'Ulum al-Din. Justeru, untuk Pelan Pembangunan Pendidikan
yang akan dirangka pada masa hadapan, dicadangkan agar kaedah pendidikan yang
digunakan oleh Ilmuwan Islam zaman lampau diterapkan dalam sistem pendidikan di
Malaysia.
Kata Kunci: Kaedah
Pendidikan; Pppm (2013-2025); Kitab Ihya' 'Ulum Al-Din
PERBANDINGAN AMALAN SPIRITUAL TADBIR
URUS KONTEMPORARI
DENGAN AMALAN SPIRITUAL TADBIR URUS KHALIFAH UMAR ABDUL AZIZ
Muhammad Mu'adz Mohd Saufee
muadzsaufee@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Perbincangan berkenaan pendekatan
spiritualiti individu dalam amalan mengurus, mentadbir dan memimpin sememangnya
ada tetapi kurang diketengahkan dalam tadbir urus kontemporari. Kurangnya
penumpuan terhadap perkara ini menjadi antara sebab timbulnya pelbagai masalah
berkaitan amalan tadbir urus di kebanyakan negara pada hari ini. Misalnya,
seperti yang berlaku di Algeria, Djibouti, Mesir, Jordan, Iran, Lubnan,
Maghribi, Tunisia dan Yaman. Sorotan terhadap sirah Islam didapati bahawa
penumpuan terhadap elemen spiritual dalam amalan tadbir urus telah berjaya
membawa impak positif kepada masyarakat. Misalnya, perkara ini berlaku pada
pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang memerintah hanya lebih kurang selama
dua tahun setengah (717-720 Masihi) tetapi diakui menjadi contoh tadbir urus
terbaik sehingga kini. Daripada penjelasan tersebut, digariskan dua objektif.
Pertama, mengenal pasti pendekatan spiritual dalam amalan tadbir urus
kontemporari; dan kedua, membandingkan amalan spiritual tadbir urus kontemporari
dengan amalan spiritual tadbir urus Khalifah Umar Abdul Aziz. Untuk mencapai
objektif-objektif tersebut, kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan dan
analisis kandungan. Analisis kandungan ini digunakan untuk mengenal pasti,
menganalisis dan merumuskan data-data yang berkaitan amalan spiritual, tadbir
urus dan Khalifah Umar Abdul Aziz. Hasilnya, pendekatan spiritual dalam amalan
tadbir urus Khalifah Umar Abdul Aziz lebih tertumpu kepada aspek ketuhanan,
yang melibatkan elemen-elemen tauhid dan mardhatillah (keredaan Allah)
berbanding pendekatan spiritual dalam amalan tadbir urus kontemporari yang
melibatkan tumpuan terhadap elemen dalaman diri individu seperti emosi,
persepsi dan keinginan yang tidak dihubungkan dengan aspek ketuhanan.
Kata kunci : Amalan tadbir urus
kontemporari, amalan tadbir urus Khalifah Umar Abdul Aziz, amalan spiritual.
ANALISIS KERANGKA KONSEPTUAL KONSEP
HOTEL PATUH SYARIAH DI MALAYSIA.
Nuruljannah Ja'afar
mujahidahnuruljannah@yahoo.com
Unviversiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini
bertujuan untuk meneliti kerangka konseptual konsep hotel patuh syariah di
Malaysia. Kertas kerja ini cuba menganalisis konsep tersebut berdasarkan
sorotan karya dan kajian yang telah dijalankan oleh para pengkaji lepas.
Analisis kandungan dan kaedah kajian perpustakaan digunakan dalam mencapai
hasrat ini. Kertas kerja ini mendapati bahawa konsep hotel patuh syariah yang
diamalkan di negara Malaysia diambil daripada konsep hotel patuh syariah yang
dibina oleh pengkaji Barat kemudian diaplikasikan di negara Timur Tengah.
Konsep tersebut digubah dengan sokongan sumber-sumber rujukan mutlak Islam
iaitu berdasarkan ayat al-Qur’an dan hadis agar wujud ciri-ciri islamik dalam
konsep tersebut. Seterusnya, implikasi daripada jangkaan dapatan kajian ini
adalah perlunya satu kajian yang lebih komprehensif dilakukan bagi membina
suatu konsep hotel patuh syariah yang beracuankan Islam sebenarnya.
Kata Kunci: Kajian
literatur, kerangka konseptual, konsep hotel patuh syariah.
ANALYSIS OF NEGARA ZIKIR (ZIKIR NATION)
CONCEPT AS A CORNERSTONE
OF AN ISLAMIC STATE: BRUNEI DARUSSALAM'S EXPERIENCE
Siti Es Husnina Bujang
husnina_b@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
The formation of an
Islamic state is a contentious issue as it involves question of formation and
authority of Muslim polity. The downfall of the Ottoman Empire in 1924 left the
Muslim world to rethink the involvement of Islam with State. Now with the emergence
of modern nation-states that shaped global political pattern, the Muslim world
experience the establishment of defined territories and forces of
secularization that were once unfamiliar to it. It is widely believed that
Islam does not separate the sacred and the profane hence Islam should also be
involved in state institution. The ideas on the creation of an Islamic state
were then developed by Muslim thinkers to respond to the needs of the
contemporary world. However, the idea of a state created based on Islamic
principles holds various interpretations in different Muslim societies. This is
due to the absence of details of formation of a state in the Quran.
Nonetheless, Muslims continued to refer to the Islamic state of Medinah with
Prophet Muhammad as the leader to be the ideal Islamic model of state and
leadership. This paper will be focusing on the features of ideal Islamic state
with Brunei Darussalam as a case study. In 2007, the 29th Sultan of Brunei,
Sultan Haji Hassanal Bolkiah announced in his titah to make Brunei Darussalam
as a Negara Zikir or a Zikir Nation with aims to create a nation that remember
Allah in all matters and live based on the teachings of the Quran and the
sunnah. While Brunei Darussalam declared on becoming a Negara Zikir, it is
necessary to study how Islam is being put into practice in matters of state and
government. The concept of Negara Zikir is further analyzed within Brunei
Darussalam’s socio-political reality to understand its role in making Brunei
Darussalam to be an Islamic state. Through this, one can understand an Islamic
state that Brunei Darussalam is aiming to be.
Keywords: Negara
Zikir, Islamic State, Brunei Darussalam.
KONSEP PEMBANGUNAN LESTARI BERTERASKAN
ISLAM
Mohamad Shamfariza Ab Halim
shamfariza_halim@yahoo.com
Universiti Sains
Malaysia
Isu-isu pembangunan seperti kemiskinan,
pengangguran, penyalahgunaan kuasa, krisis hutang, jurang pendapatan,
ketidakadilan sosioekonomi, ketidakseimbangan ekologi dan keruntuhan akhlak
telah menimbulkan permasalahan pembangunan lestari. Pembangunan lestari disini
bermaksud pembangunan yang memenuhi kehendak masa kini tanpa menjejaskan
keupayaan generasi masa depan untuk memenuhi kehendak mereka. Terdapat dua
pembangunan lestari. Pertama, pembangunan lestari konvensional; dan kedua,
pembangunan lestari berteraskan Islam. Daripada permasalahan pembangunan yang
dikemukakan sebelum ini, pembangunan lestari konvensional tidak mampu untuk
menyelesaikannya (Desta Mebratu, 1998). Oleh yang demikian, tidak adakah satu
konsep pembangunan lestari secara Islam yang mampu mengatasi
permasalahan-permasalahan yang wujud? Daripada persoalan tersebutlah,
digariskan dua objektif. Pertama, mengenalpasti pembangunan lestari berteraskan
Islam; dan kedua, menganalisis dan merumuskan konsep pembangunan lestari
berteraskan Islam. Kajian ini dilakukan dengan menggunakan kaedah kepustakaan
dan analisis kandungan. Analisis kandungan ini digunakan untuk mengenalpasti,
menganalisis dan merumuskan data-data berkaitan pembangunan lestari dan
pembangunan berteraskan Islam. Hipotesis awal bagi kajian ini didapati bahawa
konsep pembangunan lestari berteraskan Islam merupakan satu konsep pembangunan
yang belum dibincangkan oleh mana-mana pengkaji. Konsep ini lebih komprehensif
dan menyeluruh berbanding pembangunan lestari konvensional kerana ia
membincangkan aspek pembangunan dari segi fizikal, spiritual dan akhlak yang
bertunjangkan epistemologi dan tasawur Islam.
Kata Kunci: Konsep,Pembangunan
Lestari Berteraskan Islam
MANUSIA SEBAGAI PELAKU PEMBANGUNAN DALAM KITAB TAFSIR AL-AZHAR:
ANALISIS BERDASARKAN TAFSIRAN SURAH AL-BAQARAT
Nur Aniyah Saidin
aniyah_nisa@yahoo.com
Universiti Sains
Malaysia
Kertas kerja ini bertujuan mengenal
pasti manusia sebagai pelaku pembangunan dalam kitab Tafsir al-Azhar karya Haji
Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (HAMKA) dengan tumpuan khusus terhadap
tafsiran Surah al-Baqarat. Sebenarnya dalam Pembangunan Berteraskan Islam (PBI)
pelaku pembangunan adalah manusia, begitu juga dalam teori Pembangunan Lazim
(PL). Namun begitu, manusia sebagai pelaku pembangunan dalam PBI adalah sebagai
hamba dan khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini. Hal ini kerana, dalam PBI
aktiviti pengeluaran dan kepenggunaan adalah sebahagian daripada kaedah manusia
untuk membuktikan ketaatannya kepada Allah SWT bukan semata-mata pengeluar dan
pengguna seperti dalam teori PL. Persoalannya, adakah terdapat kenyataan
mengenai manusia sebagai pelaku pembangunan dalam tafsiran Surah al-Baqarat
oleh HAMKA? Pada pandangan HAMKA, bagaimanakah manusia yang dikatakan sebagai
pelaku pembangunan? Berdasarkan kedua-dua persoalan inilah kertas kerja ini
ditulis bagi mencapai tiga objektif utama. Pertama, mengenal pasti manusia
sebagai pelaku pembangunan dalam Kitab Tafsir al-Azhar dengan tumpuan khusus
terhadap tafsiran Surah al-Baqarat; kedua, menganalisis prinsip kedua ini dalam
tafsiran Surah al-Baqarat; dan ketiga, merumuskan prinsip manusia sebagai
pelaku pembangunan dalam tafsiran Surah al-Baqarat. Akhirnya, kajian
perpustakaan yang menggunakan kaedah analisis kandungan ini mendapati manusia
sebagai pelaku pembangunan dalam tafsiran Surah al-Baqarat kitab Tafsir
al-Azhar adalah manusia yang cukup satu manusia, iaitu manusia yang tugasnya
merangkumi aspek fizikal dan rohani.
Kata kunci: Manusia
sebagai pelaku pembangunan, Tafsir al-Azhar, Surah al-Baqarat.
PELAKSANAAN IBADAH, IMARAH DAN KHILAFAH
DALAM KALANGAN
PENGURUSAN KOPERASI BAN NUA’ THAILAND
Mohammad Syukri Jalil
telempak@yahoo.com.my
Universiti Sains Malaysia
Kajian ini cuba
melihat bagaimana pelaksanaan Ibadah, Imarah dan Khilafah dalam kalangan
pengurusan koperasi melibatkan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Pengurus di
koperasi Ban Nua Thailand. Masyarakat Muslim di sana menggunakan koperasi
sebagai tempat untuk membangunkan sosial ekonomi mereka melalui program-program
yang dijalankan oleh pihak koperasi. Melalui sistem pengurusan yang baik dan
pentadbiran yang berlandaskan Syariat Islam dengan menerapkan elemen Ibadah,
Imarah dan Khilafah dalam kalangan penduduk Muslim mampu memberikan sebuah
pembangunan koperasi yang berjaya. Isu dalam kajian ini melihat bagaimana
pelaksanaan Ibadah, Imarah dan Khilafah dapat dilaksanakan oleh pihak
pengurusan koperasi? Selain itu, apakah asas-asas yang digunakan dalam
membangunkan dan memajukan koperasi tersebut? Dan apakah ciri-ciri yang
sepatutnya dimiliki oleh setiap pengurusan koperasi dalam mencontohi kejayaan
koperasi di Ban Nua’Thiland? Tujuan kajian ini adalah mengenal pasti
pelaksanaan Ibadah, Imarah dan Khilafah dalam kalangan pengurusan koperasi Ban
Nua Thailand. Selain itu juga, menganalisis perlaksanaan pengurusan Ibadah,
Imarah dan Khilafah dalam kalangan pengurusan koperasi Ban Nua Thailand dan
akhir sekali merumus elemen-elemen penting yang menjadi asas kepada kejayaan
koperasi Ban Nua Thailand. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini
menggunakan data primer dengan menggunakan kaedah temu bual dan pemerhatian.
Dapatan kajian melihat perlaksanaan Ibadah, Imarah dan Khilafah mampu
menjadikan sesebuah koperasi tersebut berjaya berasaskan Syariat Islam.
Kata Kunci: Ibadah,
Imarah, Khilafah dan koperasi.
ELEMENTS IN ISLAMIC-BASED RELATIONSHIP
MARKETING APPROACH
Murni Yusoff
murniyusoff.usm@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Relationship
marketing (RM) is one of the prominent approaches in generating profitability
to the business organizations through building and maintaining relationship
with stakeholders. Yet, the concept of RM implemented was introduced by Western
ethnocentric. Philosophically, the Western ethnocentric marketing focuses on
the material aspects and tends to ignore the influence of spiritual aspect in
business. In the meantime, Islamic business organizations have differences in
terms of concept, principles, and elements in marketing products and services
guided by Quran and Hadith. The six Islamic principles are identified to
construct the eleven elements of Islamic-based RM approach developed for
Islamic business organizations. Those eleven elements are religious obedience,
truth, sincerity, fair dealing, accountability, trustworthy, transparency,
commitment, communication, Tawakkal, and Qanaah. Therefore, this paper intends
to apply those elements in Islamic-based RM approach developed for the Islamic
business organizations using textual analysis. The findings lead to the
emergence of Islamic-Based RM approach that embeds the Islamic philosophical
underpinnings to be implemented in Islamic business organizations.
Keyword: Relationship
Marketing, Elements, Islamic Approach.
INSTITUSI HISBAT DAN PEMBINAAN TAMADUN
ISLAM
Azrin Ibrahim
azrin_azs86@yahoo.com.my
Universiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini
mempunyai dua objektif. Pertama, mengenal pasti asas-asas institusi Hisbat
dalam Islam. Kedua, mengenal pasti dan menganalisis sumbangan institusi Hisbat
dalam membina dan membangunkan tamadun Islam. Kajian ini penting dilakukan
memandangkan institusi Hisbat pernah menjadi salah satu komponen utama dalam
sistem pemerintahan Islam. Ia menjadi nadi penggerak dalam usaha merealisasi
seruan al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar. Institusi Hisbat juga
berfungsi dalam mengangkat ketamadunan Islam dan melahirkan masyarakat yang
berakhlak mulia. Persoalannya, apakah perkara yang menjadi asas institusi
Hisbat? Bagaimanakah pula ia dapat memberi sumbangan dalam membina ketamadunan
dan membentuk akhlak manusia? Kertas kerja ini secara umumnya berhasrat mencari
jawapan kepada persoalan-persoalan ini. Dapatan daripada analisis ini membawa
kepada rumusan bahawa asas pembentukan institusi Hisbat adalah untuk
menghimpunkan semua wilayah dan umat manusia agar bersatu dan beriman untuk
menegakkan kalimah Allah SWT. Ia penting ke arah pembinaan tamadun manusia di
samping membentuk akhlak yang mulia dalam kalangan masyarakat agar sentiasa
berusaha ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Kata Kunci: Hisbat,
al-amr bi al-ma‘ruf wa al-nahy ‘an al-munkar, tamadun Islam.
PERBEZAAN PELAPORAN ISU-ISU KEAGAMAAN DALAM UTUSAN ONLINE DAN
HARAKAHDAILY: ANALISIS TERHADAP PELAPORAN ISU TAHALUF SIYASI
Azuraanisah Jamid
azuraanisah@yahoo.com
Universiti Sains
Malaysia
Saluran media merupakan penghubung
antara masyarakat dengan sesuatu informasi kerana keupayaan sesebuah media
mencapai sasaran khalayak yang luas membolehkan pelaporan tentang pelbagai isu
disampaikan dengan lebih pantas dan meluas. Meskipun begitu, sering terjadi
perbezaan pelaporan sesuatu isu dalam media, terutamanya isu-isu keagamaan.
Dalam kalangan isu-isu keagamaan itu pula, pelaporan isu Tahaluf Siyasi dalam
akhbar Utusan Online dan HarakahDaily dilihat sering bertentangan antara satu
sama lain. Persoalannya, mengapakah berlaku perbezaan dalam pelaporan isu
Tahaluf Siyasi ini? Apakah wujud agenda-agenda tertentu di sebalik pelaporan
tersebut? Berdasarkan kedua-dua persoalan inilah, kertas kerja ini ditulis bagi
mencapai dua objektif kajian. Pertama, mengenal pasti pelaporan isu Tahaluf
Siyasi dalam akhbar Utusan Online dan HarakahDaily; kedua, menganalisis
faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya perbezaan dalam pelaporan isu Tahaluf
Siyasi dalam kedua-dua akhbar tersebut. Bagi mencapai kedua-dua objektif ini,
kertas kerja ini meneliti pelaporan isu Tahaluf Siyasi dalam akhbar Utusan
Online dan HarakahDaily edisi online pada tahun 2013. Tempoh masa tersebut
dipilih kerana berlaku Pilihan Raya Umum pada tahun 2013. Kajian perpustakaan
yang menggunakan kaedah analisis kandungan ini mendapati perbezaan pelaporan
Tahaluf Siyasi dalam Utusan Online dan Harakah Daily berlaku kerana wujud
kepentingan pihak-pihak tertentu dalam penulisan laporan dan pelanggaran etika
kewartawanan.
Kata Kunci: Perbezaan, pelaporan,
isu-isu keagamaan, Utusan Online, HarakahDaily, isu Tahaluf Siyasi.
KONSEP DAN DEFINISI KESEJAHTERAAN HIDUP
MUSLIM IDEAL
Alamsyah Alwi
Universiti Sains Malaysia
Kesejahteraan hidup adalah sebuah
konsep yang selalu mengalami perkembangan. Ia disesuaikan dengan pelbagai
keadaan antara lain agama, kemasyarakatan, budaya, politik, ekonomi, wilayah,
dan sumber asas. Hasilnya, konsep dan definisi kesejahteraan hidup semasa masih
mengalami perbezaan sehingga sukar digunapakai untuk mengukur tahap
kesejahteraan hidup secara universal. Sementara definisi kesejahteraan hidup
Muslim yang ideal masih belum dikenal pasti. Untuk menjawab isu-isu yang telah
dikemukakan tersebut, maka kertas ini cuba mengenal pasti konsep dan definisi
kesejahteraan hidup Muslim yang ideal. Analisis kandungan diguna pakai untuk
mencari konsep dan definisi kesejahteraan hidup yang sesuai untuk Muslim.
Kata Kunci: konsep,
definisi dan kesejahteraan hidup muslim ideal.
PERANAN MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS) DALAM
MEMPERKASA MASYARAKAT MINORITI ISLAM SINGAPURA
Hairul Azuan Abas
hairul.azuanabas@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS)
merupakan salah satu badan kerajaan dalam Negara Singapura. Antara peranan MUIS
adalah bertanggungjawab memperkasakan masyarakat minoriti Islam di Singapura.
Hasil pelaksanaan tanggungjawab oleh MUIS tersebut telah mampu meningkatkan
sosioekonomi dan sosiopolitik masyarakat minoriti Islam di Singapura berbanding
dengan masyarakat minoriti Islam di negara yang lain. Walaupun dengan kekangan
autonomi dibawah pemerintahan Republik Singapura, MUIS menggunakan pelbagai
strategi untuk memastikan masyarakat minoriti Islam Singapura mampu bersaing
pada peringkat Nasional. Berdasarkan penjelasan tersebut, kajian ini
menggariskan dua objektif. Pertama, mengenal pasti peranan MUIS; dan kedua,
menganalisis peranan MUIS dalam memperkasakan masyarakat Islam Singapura. Untuk
mencapai objektif-objektif tersebut, kajian ini menggunakan kaedah kepustakaan
untuk mendapatkan sumber data sekunder. Selain itu, analisis kandungan juga
digunakan untuk mengenal pasti, menganalisis dan merumuskan data-data berkaitan
MUIS dan masyarakat minoriti Islam. Hasilnya, peranan dan tanggungjawab MUIS
terhadap masyarakat minoriti Islam Singapura meliputi pengelolaan masjid,
zakat, wakaf, membuat fatwa, melaksanakan program pembangunan golongan belia,
membuat garis panduan imej Muslim yang baik dan mengatur langkah sewajarnya
untuk memastikan identiti masyarakat Islam Singapura menggunakan nilai-nilai
Islam.
Kata Kunci: Majlis
Ugama Islam Singapura (MUIS), Pemerkasaan Masyarakat, Minoriti Islam, sosioekonomi.
PEMAKNAAN SOLAT
Mazne Othman
carlink59@yahoo.com
Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Brunei
Dalam pelaksanaan ibadat solat pelbagai
persoalan yang memerlukan kepada jawapan yang amat diperlukan bagi kebermaknaan
ibadat tersebut. Misalnya, berapa ramai orang yang tidak mengerjakan solat?
Bagi yang solat terdapat orang yang tidak cukup lima waktu sehari dan mungkin
juga ramai orang yang mengerjakan solat di luar waktunya. Bagi orang yang
mengerjakan solat cukup lima waktu dan dikerjakan dalam waktunya pun mungkin
ada yang kurang mengambil perhatian dan tidak memahami hubungan solat dengan
kehidupan di dunia dan di akhirat yang semua elemen-elemen tersebut memberi
maksud kepada kebermaknaan solat itu sendiri. Dalam konteks
pendidikan,institusi pendidikan Islam mengajarkan pelajaran solat bagi tujuan
yang lebih kurang sama ia itu melahirkan individu muslim yang boleh mengerjaakn
solat dengan betul dan menjadikan orang Islam itu mengabdikan diri kepada Allah
yang akhirnya menjadikan solat itu bermakna. Sistem pendidikan ugama di Negara
Brunei Darussalam yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengajian Islam telah
menyediakan kurikulum pendidikan solat mulai dari umur 5 tahun (peringkat
rendah) hingga berumur 19 tahun di pengajian tinggi. Ini melibatkan beberapa
perkara seperti perancangan, pelaksanaan dan juga pentaksiran. Bagaimanapun
berdasarkan kajian yang dilakukan keatas seramai 668 pelajar masih terdapat
pelajar yang pelaksanaan solat mereka belum mencapai kepada yang dikehendaki. Melihat
kepada maklumat di atas memberi gambaran kepada kita keperluan bagi penilaian
semula sistem pendidikan yang kita amalkan dan melihat sejauh mana kita berjaya
mencapai hasrat dan tujuan solat itu diajarkan, lebih jauh dari itu menjadikan
pelajar kita telah mencapai kepada makna sebenar mendirikan solat.
Kata Kunci: pemaknaan
solat.
TAKSIRAN ZAKAT PADI DI KORIDOR UTARA
Muhammad Anas Ibrahim
kinanah.trvl@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini bertujuan menganalisis
taksiran zakat yang dilaksanakan di oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di
Koridor utara. Fatwa setiap institusi zakat negeri ini berbeza dalam taksiran
zakat padi yang dihitung berdasarkan hasil bersih dan kasar. Namun begitu,
perbezaan ini tidak dapat diselaraskan di peringkat fatwa negeri di Koridor
Utara dalam kaedah pengiraan zakat daripada hasil bersih pertanian. Persoalan
yang timbul dalam kajian ini, apakah taksiran yang bersesuaian untuk diamalkan
untuk pertanian moden semasa. Mengapakah kaedah ini bersesuaian diamalkan.
Kajian ini dilakukan secara temu bual mendalam terhadap pegawai MAIN bagi
mendapat gambaran yang jelas perbezaan taksiran setiap negeri. Dapat kajian
mendapati terdapat tiga kaedah dapatan mempamerkan tiga kaedah taksiran yang
diamalkan. Pertama, zakat ditaksirkan berasaskan hasil kasar yang diperoleh
dengan kadar 5%. Kedua, zakat ditaksirkan berasaskan hasil bersih setelah
menolak kos tanaman dengan kadar 10%. Ketiga, zakat ditaksirkan berasaskan
hasil bersih setelah menolak kos tanaman dan kos sara hidup. Akan dihujahkan,
berdasarkan tulisan klasik dan kontemporari, zakat sepatutnya ditaksirkan
berasaskan hasil bersih setelah ditolak kos tanaman dan kos sara hidup.
Kata Kunci: Kos
Pengeluaran, Kos Sara Hidup Dan Kaedah Taksiran Main.
PENERIMAAN AR-RAHNU OLEH USAHAWAN KECIL
MUSLIM DI KELANTAN:
SATU KAJIAN RINTIS
Salimah Yahaya
sal_hasa@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Secara umumnya, ramai
penduduk di Negeri Kelantan menjadikan perniagaan secara kecil-kecilan sebagai
punca rezeki mereka. Di Kelantan, kegiatan keusahawanan secara kecil-kecilan
ini juga giat diusahakan oleh kaum wanita. Rentetan itu, usahawan di Kelantan
telah menjadikan Ar-Rahnu sebagai alternatif mereka untuk mendapatkan sumber
modal. Budaya berniaga dalam kalangan penduduk di Kelantan ini juga telah
menyumbang kepada sambutan yang menggalakkan terhadap Ar-Rahnu di negeri
tersebut. Justeru, amat menarik untuk melihat apakah faktor-faktor sebenar yang
menentukan pemilihan usahawan kecil di Kelantan terhadap Skim Ar-Rahnu? Dengan
berpandukan Kerangka Konseptual Penentu Pemilihan Bank Menurut Muslim Ideal
(PPBMMI), penulisan ini secara tidak langsung dapat membuktikan bagaimana model
kerangka PPBMMI dapat menonjolkan penerimaan usahawan kecil Muslim di Kelantan
terhadap Ar-Rahnu. Sebanyak 30 set soal selidik telah diedarkan secara rawak
kepada usahawan kecil yang menjalankan perniagaan di sekitar Bandar Kota Bharu,
Kelantan. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan pakej Statistical Package
for Social Science (SPSS) versi 20.0. Hasil penulisan ini menjangkakan bahawa
penerimaan Ar-Rahnu dalam kalangan usahawan kecil Muslim di Kota Bharu Kelantan
masih rendah. Hal ini kerana kebanyakan usahawan kecil menggunakan modal
sendiri untuk menjalankan perniagaan mereka.
Kata Kunci: Ar-Rahnu,
pajak gadai Islam, usahawan, Kelantan.
CATATAN SEJARAH DINAR EMAS: APLIKASI DI MALAYSIA
Che Khadijah Hamid
khadijah_usm@yahoo.com
Universiti Sains
Malaysia
Aplikasi dinar emas adalah bertitik
tolak daripada kesukaran manusia untuk melakukan transaksi tukaran barang yang
telah memaksa manusia mencipta satu mekanisme yang lebih mudah sifatnya.
Rentetan daripada itu manusia mula bertukar daripada menggunakan kaedah tukaran
barang dalam urusan transaksi kepada penggunaan mata wang dinar dan dirham.
Menurut catatan sejarah, dinar emas telah diguna pakai sebelum zaman Islam dan
diterima penggunaannya pada zaman Rasulullah SAW sehinggalah pada zaman
kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah. Manakala,dinar emas pada zaman moden pula
ditempa di Dubai pada tahun 1992. Di Malaysia, saranan Tun Dr. Mahathir bin
Mohamad terhadap penggunaan dinar emas sebagai satu jalan penyelesaian terhadap
isu kewangan. Persoalannya, adakah masyarakat di Malaysia kini sedar akan
sejarah lampau yang membuktikan kepentingan dinar emas. Selain itu, perlunya
saranan golongan pemimpin dititikberatkan. Justeru itu, kajian ini bertujuan
menganalisis sejarah dinar emas sebelum kedatangan Islam dan selepas kedatangan
Islam. Kedua, mengenal pasti bentuk-bentuk aplikasi dinar emas yang telah
diamalkan di Malaysia. Jenis penyelidikan utama adalah berbentuk kajian
penerokaan dan pengumpulan data diperoleh daripada kajian perpustakaan serta
data dianalisis menggunakan analisis kandungan dan analisis tekstual. Dapatan
kajian memperlihatkan catatan sejarah mengenai dinar emas membuktikan bahawa
dinar emas adalah mekanisme yang bersesuaian dan diterima penggunaan. Berbalik
kepada aplikasinya di Malaysia, dinar emas telah dijadikan sebagai sumber
pelaburan, simpanan, pembayaran zakat, urusan haji, hantaran perkhawinan dan
sistem pembayaran elektronik.
Kata Kunci: Sejarah Dinar Emas, Bentuk Aplikasi di
Malaysia.
TALENT SHORTAGE IN ISLAMIC BANKING
INSTITUTIONS: A PROBLEM STATEMENT
Mohd Ikhwan Aziz
wanpuma@gmail.com
Universiti Sultan Zainal Abidin
Despite the fact that
the numbers of Malaysian undergraduates in Islamic finance gradually increase,
many practitioners have always raised the issue of talent shortage in Islamic
banking institutions. Why is it so? Is it because of the insufficient skill
among the undergraduates on the infrastructure, policy maker of the Islamic
banking program curriculum, or aside the Islamic banking itself that could not
find a right talent or too being choosy during recruitment process? This paper
aims to demonstrate some justification on why this study should be conducted.
Hence a library research, pilot study and state of art method are used in this
paper in order to come up with justification of research gap and the need to
conduct this study.
Keywords: Islamic
banking, Talent shortage, Talent development, Undergraduate.
MEKANISME SANAD: SATU KAJIAN TERHADAP
PENGAPLIKASIANNYA
DI LUAR BIDANG HADITH
Sakinah Saptu
usakinahsaptu@gmail.com
Universiti Kebangsaan Malaysia
Mutakhir ini sikap
ekstrem sesetengah pihak dalam mementingkan sanad berlaku dalam pengajian
Islam. Sikap ini telah melahirkan tanggapan bahawa apa sahaja ilmu berkaitan
dengan agama Islam memerlukan kepada sanad dan ketiadaan sanad menjadi penyebab
kepada terputusnya kesinambungan ilmu agama dari Nabi s.a.w. Isu tersebut
menimbulkan dua persoalan. Pertama: Bilakah sanad mula diaplikasikan ke dalam
bidang selain hadith? Kedua: Adakah aplikasi sanad dalam semua ilmu pengajian
Islam merupakan sistem yang diwarisi daripada Nabi s.a.w? Oleh itu, kertas
kerja ini dihasilkan bagi mengenalpasti permulaan aplikasi sanad di luar bidang
hadith dan menjelaskan kedudukannya sebagai tradisi ulama dalam bidang selain
hadith. Kajian berbentuk kualitatif ini dijalankan dengan menggunakan pendekatan
kajian sejarah. Data pula dikumpul dan dianalisis menggunakan kaedah analisis
kandungan. Hasil kajian menunjukkan bahawa aplikasi sanad berlaku di luar
bidang hadith setelah ia membangun sebagai sebuah sistem yang mudawwan
(tersusun) dari sudut teori dan praktikal. Selain dari itu, ia juga menunjukkan
bahawa aplikasi sanad untuk selain bidang hadith diwarisi daripada pengamalan
para ulama terdahulu dalam penulisan dan penyampaian ilmu.
Kata Kunci: Mekanisme
Sanad, Aplikasi Sanad, Tradisi Sanad, Sanad dalam Pengajian Islam.
PERSEPSI PELAJAR MUSLIM UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UniSZA)
TERHADAP FAKTOR PEMILIHAN PELABURAN DANA
AMANAH ISLAM (DAI)
Mohd 'Adli Zahri
adlizahri89@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Pelaburan Dana Amanah
Islam (DAI) di Malaysia semakin meningkat dari masa ke masa. Hal ini dibuktikan
daripada sumber Bank Negara yang mengatakan nilai aset bersih DAI meningkat
daripada RM 35 bilion pada tahun 2012 kepada RM 45 bilion pada tahun 2014
(Jun). Namun demikian, realiti yang berlaku ialah penembusan pelaburan DAI
dalam kalangan masyarakat Muslim masih lagi rendah. Sedangkan 60% penduduk
Malaysia terdiri daripada penduduk Muslim. Persoalannya, adakah penghayatan
agama masih lagi rendah? Atau pemilihan DAI disebabkan faktor intrinsik
(kefahaman terhadap pelaburan DAI dan pulangan maslahat)? Atau pemilihan DAI
disebabkan faktor ekstrinsik (pemasaran, ciri-ciri produk dan perkhidmatan)?
Kertas ini bertujuan untuk melihat kepada persepsi pelajar Muslim terhadap
pemilihan pelaburan DAI. Data diperoleh daripada 30 pelajar Muslim dari
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kemudian data dianalisis melibatkan
analisis kuantitatif, iaitu menggunakan statistik deskriptif dan statistik
inferens. Dua penemuan utama kajian ini ialah pertama, persepsi positif
terhadap semua dimensi, yang mana dimensi tertinggi ialah keyakinan dan ibadat,
manakala dimensi yang terendah ialah kefahaman terhadap pelaburan DAI. Kedua
ialah faktor ekstrinsik lebih dominan dan signifikan dalam pemilihan pelaburan
DAI berbanding faktor kepatuhan beragama dan intrinsik. Implikasinya, pihak
pengendali DAI perlu memberi perhatian pada ciri-ciri produk dan perkhidmatan
untuk menarik minat masyarakat menyertai pelaburan DAI.
Kata Kunci: Persepsi,
Faktor Pemilihan, Pelajar Muslim UniSZA, Dana Amanah Islam.
TEORI PEMBANGUNAN LAZIM: AKAR
PEMIKIRAN, PERKEMBANGAN
DAN KRITIKAN DARI PERSPEKTIF ISLAM
Yusrizal Zainal Abidin
rizal_afaiz@yahoo.com
Universiti Sains Malaysia
Kertas kerja ini bertujuan mengungkap
dan menggambarkan hakikat pemikiran pembangunan lazim dan menimbangnya dari
sudut Islam. Secara amnya teori-teori pembangunan yang digunapakai dewasa ini
berasal dari barat. Setakat ini, penerapan berbagai konsep pembangunan lazim
tersebut dinilai gagal membawa manusia kepada tujuan pembangunan yang
sesungguhnya. Dunia Muslim juga mulai menolak konsep tersebut kerana dipandang
bercanggah dengan konsep Islam. Yang menjadi persoalannya adalah, sebenarnya di
mana letak kerancuan pemikiran pembangunan lazim ini? Kertas kerja ini akan
cuba menjawab pertanyaan ini dengan membincangkan tiga perkara utama. Pertama,
meninjau akar pemikiran pembangunan lazim dan perkembangannya. Kedua, menggambarkan
berbagai teori pembangunan kontemporari dan asas ideologinya. Ketiga,
menganalisis dan merumuskan kedudukan pemikiran pembangunan lazim dari
perspektif Islam. Semua maklumat yang digunakan dalam kertas kerja ini adalah
daripada data sekunder sahaja. Ia dianalisis menggunakan kaedah analisis
kandungan.
Kata Kunci: Pemikiran
Pembangunan, Teori Pembangunan, Akar Pemikiran, Perkembangan, Pembangunan
Lazim.
ASAS PEMBENTUKAN KAEDAH PERAKAUNAN
ZAKAT KORPORAT
DI KOTA MEDAN, INDONESIA
Irfan
irfanumsu@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
Zakat korporat
merupakan salah satu hasil ijtihad kontemporer ulama dalam perluasan objek
harta yang wajib dikeluarkan zakatnya. Zakat korporat diwajibkan terhadap
syarikat yang menjalankan Aktivitas perniagaan atau perdagangan dari modal yang
dikembangkan dan mendapatkan keuntungan dari itu. Setakat ini di Indonesia
belum adanya fatwa rasmi dari lembaga atau institusi seperti Majelis Ulama
Indonesia (MUI) tentang zakat korporat, baik dari segi hukum maupun teknis
penghitungannya. Walaupun sebenarnya kebijakan pemerintah tentang zakat ini,
sudah dimuat dalam Undang-Undang No 23/2011 tentang pengelolaan zakat sudah
disebutkan bahwa di samping zakat mal ada zakat badan (korporat). Kajian ini
menggunakan data sekunder untuk melihat konsep dasar zakat korporat. Dari
kajian ini dapat disimpulkan bahwa korporat, baik dalam konsep syirkah maupun
syakhshiyyah i’tibariyyah, boleh menjadi sumber obyek zakat kontemporer. Secara
prinsip zakat korporat dapat dipungut apabila memenuhi persyaratan, antara lain
: kepemilikan usaha tersebut oleh muslim, bidang usaha yang diamalkan halal,
aset korporat dapat berkembang, aset korporat dapat dinilai danminimal aset
kena zakat setara dengan 85 gram emas.
Kata Kunci: Asas,Kaedah,Perakaunan
Zakat Korporat.
No comments:
Post a Comment